Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Elaun pemenang perak, gangsa Sukan SEA, Para Asean dinaikkan

Pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA serta Sukan Para Asean menerima perkhabaran gembira, apabila kadar elaun mereka dinaikkan berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata pemenang perak akan menikmati kenaikan elaun daripada RM800 kepada RM1,500, manakala gangsa pula dari RM800 kepada RM1,000 sebulan.

Ahmad Faizal menjelaskan penambahan kadar elaun itu perlu dibuat bagi memastikan perancangan latihan dan kebajikan atlet terus terpelihara.

“Bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria pemilihan untuk dimasukkan ke program latihan sepenuh masa, saya telah meminta MSN (Majlis Sukan Negara) untuk terus menghulurkan bantuan setiap kali mereka hadir menjalani latihan, secara berfasa.

“Bantuan penginapan, kemudahan fasiliti dan tempat latihan, penginapan, makan dan minum dan khidmat sokongan terus ditawarkan mengikut perancangan dicadangkan, setiap persatuan sukan kebangsaan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan atlet dan jurulatih di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kontrak yang ditawarkan kini juga tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya sukan tertentu, dengan bentuk elaun latihan kembali berpaksikan kepada pencapaian seseorang atlet dalam temasya disertai.

Ahmad Faizal juga mahu atlet kekal fokus untuk melakar pencapaian cemerlang buat Malaysia, biarpun bakal menjalani kalendar padat tahun ini termasuk tiga temasya sukan utama iaitu Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom pada Julai dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini.

“Apa yang paling dituntut daripada anda semua ketika ini ialah sentiasa memastikan diri dalam keadaan kecergasan terbaik, sentiasa bersedia daripada semua segi walau apa sekali pun cabaran yang terpaksa ditempuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan seramai 45 atlet normal dan 12 atlet para menikmati kenaikan elaun latihan bagi pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN itu.

Katanya sebanyak RM322,800 diperuntukkan bagi penambahan elaun latihan kepada atlet terlibat, dan ini menjadikan kos keseluruhan elaun meningkat dari RM8.94 juta kepada RM9.26 juta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS