'Janganlah bersara, nanti saya tak ada saingan panaskan suasana'
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjuarai perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Menteri besar Kedah itu berkata dia gembira dengan perkara itu kerana ia mengubah hasrat pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bersara daripada arena bola sepak negara.
“Tahniah kepada JDT atas kemenangan Piala Sumbangsih. Bersara atau tidak itu pilihan masing-masing, orang yang nak bersara biasanya tua, yang muda nak bersara buat apa?” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Muhammad Sanusi turut berseloroh dengan berkata dia menganggap Tunku Ismail sebagai "saingan untuk memanaskan suasana di luar padang".
“Orang tua pun main bola lagi, jangan bersara. Nanti saya tak ada saingan pula untuk ‘memanaskan’ suasana di luar padang,” katanya.
Tunku Ismail sebelum ini menerusi Instagram berkata dia tidak akan terlibat dalam aktiviti bola sepak negara jika pasukan JDT kalah kepada KL City FC.
"Jikalau kalah esok (Sabtu), saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara," tulis Tunku Ismail di media sosial.
JDT menjuarai perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, semalam.
Juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu menjuarai perlawanan Sumbangsih empat musim berturut-turut sejak 2018.

