Datuk Dr PS Nathan mengekalkan jawatan sebagai Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) bagi penggal 2022-2024 setelah menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kongres itu, semalam.

Dr Nathan, yang merupakan pengasas MTBC pada 1974 dan menjadi presiden sejak itu, sekali lagi diberi mandat memimpin kongres tersebut selepas tiada calon layak mencabar beliau pada AGM yang berlangsung di Petaling Jaya.

AGM yang dihadiri oleh 13 daripada 15 ahli gabungan itu, turut menyaksikan Datuk Mohd Najeeb Abdullah memenangi jawatan Timbalan Presiden MTBC, setelah juga menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) Robert Lu Nam Min dipilih sebulat suara sebagai Naib Presiden Kanan menggantikan Kenny Yap, yang berundur disebabkan komitmen kerja.

Bekas ratu boling negara yang juga Setiausaha Persatuan Tenpin Boling Selangor Shalin Zulkifli, dipilih sebagai seorang daripada naib presiden bagi setiap zon bersama-sama Hidzir Ahmad (Kedah), Mazlan Said (Melaka), Zamzuriadi Shamsudin (Pahang) dan Rozzainny Sham Talip (Sabah).

Enam individu dipilih sebagai ahli majlis bagi penggal 2022-2024 iaitu Helmy Sharudin Che Ya (Kedah), Sunny Si (Sarawak), Mohd Farid (Selangor), Rosliza Haron (Kelantan), Mat Salleh Jalani (Terengganu) dan Bakhtiari Effendie (Putrajaya).

Sementara itu, Choo Yew Kuen mengekalkan jawatan tanpa bertanding sebagai bendahari kehormat, manakala Maradona Chok dilantik oleh Dr Nathan sebagai setiausaha agung.-19.

- Bernama