FAM beri Mohd Rizal peringatan keras
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada Mohd Rizal Mohd Ghazali selepas gagal menghadiri latihan pasukan kebangsaan tanpa sebab pada 14 Mac 2022.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, pemain Sabah FC tersebut telah diingatkan melalui surat amaran agar komited dalam tanggungjawab kepada skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan.
“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kukuh kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya hendak menarik diri pada masa akan datang,” katanya.
Mohd Rizal sebelum ini dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menggantikan tempat pemain pertahanan Muhammad Syahmi Safari yang mempunyai hal peribadi.
Walau bagaimanapun, keengganan Mohd Rizal untuk menjawab seruan pasukan negara telah memaksa jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk menagih khidmat pemain pertahanan Negeri Sembilan FC Ahmad Khuzaimi Piee.
Lanjutan dari itu, skuad kebangsaan telah ditundukkan 2-1 oleh Singapura dalam saingan Siri Tiga-Negara FAS 2022 pada 26 Mac lalu.

