Gara-gara kentut tidak berhenti-henti dan ketawa melampau semasa dalam bilik persalinan, kelab Perancis, Lyon, menggugurkan salah seorang pemain mereka, Marcelo.

Agensi berita pada Ogos lalu melaporkan pemain pertahanan Brazil berkenaan dikenakan tindakan tersebut selepas Lyon tunduk 0-3 kepada kelab Angers.

Marcelo dilihat ketawa semasa ketua pasukan Lyon, Leo Dubois, memberikan ucapan selepas mereka kalah dan ia tidak disenangi pengurus kelab terbabit, Peter Bosz serta pengarah kesukanan mereka, Juninho.

Memetik sumber ESPN melaporkan selain dikenakan tindakan disiplin kerana ketawa itu, Marcelo juga diketepikan kerana kentut berkali-kali di depan rakan sepasukannya.

Pada keadaan semasa, Marcelo dianggap sebagai antara pemain disegani dan kanan dalam skuad Lyon. Dia baru saja menandatangani kontrak baru bersama kelab tersebut menjelang musim baru Ligue 1.

Bagaimanapun pengurusan Lyon mengambil tindakan drastik kerana menganggap tingkah lau Marcelo sebagai sangat tidak wajar. Justeru kontrak pemain berusia 34 tahun itu ditamatkan pada akhir Jan lalu.

Marcelo kemudian menyertai sebuah lagi kelab di Perancis, Bordeaux. Ketika ini Bordeaux berada di kedudukan tercorot Ligue 1 dan berdepan kemungkinan tersingkir ke liga bawahan negara tersebut.