Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan Gon mahukan lebih daripada kemenangan mudah ketika Harimau Malaya bertemu bekas pasukannya Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Selepas membimbing skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan termasuk menang 4-0 ke atas Brunei pada Jumaat lepas, Pan Gon mahukan pasukannya itu menang dengan bermaruah.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berkata menang dalam sesuatu perlawanan itu ada dua tahap, iaitu menang dengan pemainan yang terbaik dan menang tapi dengan prestasi mengecewakan.

“Kita pilih menang secara proaktif, mendominasi, bersemangat dan dinamik. Perkara seperti itu yang kita mahu berikan kepada peminat, itu lebih penting bagi saya. Jadi, esok kita mahu kemenangan dengan permainan bola sepak seperti itu,” katanya dalam sidang media sebelum perlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Bercakap mengenai pasukan lawan yang beliau pernah bimbing dari 2009-2010 dan 2012-2017 itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata cara permainan Hong Kong hampir sama dengan Turkmenistan, dan sebab itulah pertemuan esok akan menjadi perlawanan persediaan terbaik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Malah Pan Gon berkata beliau teruja untuk perlawanan esok, kerana anak buahnya telah menjalani persiapan yang bagus sejak mereka dikumpulkan pada 19 Mei.

“Saya rasa sejak 10 hari lepas pemain kami telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan saya rasa amat gembira, jadi diharapkan tenaga dan semangat yang ada dapat dijelmakan kepada gaya permainan terbaik kepada peminat esok. Itu sahaja yang saya mahukan,” katanya.

Perlawanan persahabatan esok adalah yang terakhir sebelum skuad kebangsaan membuka tirai Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Untuk rekod, Malaysia seri 1-1 dan kalah 0-2 dalam dua pertembungan terakhir dengan Hong Kong pada Kelayakan Piala Asia 2019, yang ketika itu berada di bawah kendalian Pan Gon.

- Bernama