Perak FC bawa tiga pemain import baru
Perak FC hari ini mengumumkan kemasukan tiga pemain import bagi memantapkan lagi pasukan itu menghadapi saingan Liga Premier 2022 yang berbaki sembilan perlawanan.
Tiga pemain berkenaan ialah penyerang dari Croatia, Stipe Plazibat, 32; pemain tengah dari Argentina, Luciano Guaycochea, 30; dan seorang lagi pemain tengah, Sunday Kolawole Afolabi, 22; dari Nigeria.
Pengerusi Perak FC Abdul Azim Mohd Zabidi berharap pengalaman dimiliki ketiga-tiga pemain itu akan membantu memperkuatkan The Bos Gaurus menghadapi baki saingan Liga Premier dan Liga-Malaysia 2022.
“Matlamat kami kini adalah untuk menamatkan perlawanan dalam kelompok lima pasukan terbaik bagi melayakkan Perak FC beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022.
“Kami amat berharap Perak FC dapat memberi saingan yang hebat dengan kehadiran pemain import ini,” katanya selepas majlis pengenalan dan menandatangani kontrak pemain import baru di Menara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, pentadbiran XOX Berhad akan menguruskan Perak FC dengan cara terbaik selain berhasrat menjadikannya sebuah pasukan yang mempunyai barisan pengurusan profesional di Malaysia.
Pada Mei lepas anak syarikat milik penuh XOX Berhad, XOX Pro Sport Sdn Bhd, memeterai perjanjian penjualan saham dengan Impact Media & Communication Sdn Bhd untuk mengambil alih skuad itu.
Perak FC sebelum ini mencatatkan dua kemenangan, namun didenda dengan pemotongan sembilan mata susulan kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji, sekali gus berada di kedudukan terakhir dengan negatif tiga mata.
- Bernama

