Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
JDT bakal dapat khidmat pemain taraf Eropah
Diterbitkan:  Jun 28, 2022 2:39 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mengesahkan Jordi Amat akan menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Selatan itu bagi mendepani saingan Liga Super musim ini.

Jordi merupakan aset berharga kepada JDT berikutan pengalamannya pernah berkhidmat di beberapa kelab seperti Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis dan Swansea.

Dia juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Sepanyol dalam saingan Piala Dunia Bawah 17.

Tunku ismail dalam satu sesi dialog bersama penyokongnya di Stadium Sultan Ibrahim berkata prosedur perpindahan pada masa ini sedang menunggu proses dokumentasi selesai.

“Jordi akan jadi sebahagian keluarga JDT dan jika semua proses mengenai pasportnya berjalan lancar, insya-Allah dia akan menyertai JDT dalam masa terdekat.

“Apa yang saya tahu ibunya berasal dari Makasar, Indonesia,” katanya.

Pada masa sama Tunku Ismail berpendapat Indonesia akan kerugian jika tidak melamar Jordi untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan mereka kerana pemain terbabit pernah bermain dalam lebih 100 perlawanan kompetitif di Sepanyol dan England.

Jordi yang menyandang posisi pemain pertahanan dijangka akan digandingkan dengan Daniel Ting yang juga tiba di JDT semalam untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mauricio dos Santos Nascimento.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS