Atlet raih emas di Birmingham, Solo akan diberi insentif
Pemenang pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para Asean (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan kerana mengharumkan nama negara, kata Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
“Tentunya kita (memberikan insentif kepada pemenang pingat emas).
"Kita ada insentif yang akan kita berikan melalui program ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam),” katanya pada pemberita selepas program pelancaran sebuah produk kecantikan di Shah Alam, malam tadi.
Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan memberikan sebarang insentif atau tidak kepada atlet negara yang meraih emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 baru-baru ini.
Menurutnya, kementerian akan memastikan usaha gigih para atlet negara di pentas antarabangsa dihargai, selain merancang untuk meraikan kejayaan mereka di kedua-dua sukan itu bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kelak.
Kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos lepas dengan pencapaian membanggakan apabila meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Kejayaan itu menyamai pencapaian negara di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, apabila kem Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.
Bagi temasya APG, kontinjen Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa pada temasya yang berlangsung antara 30 Julai dan 5 Ogos lepas.
- Bernama

