Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan Para Asia 2023 Hangzhou diadakan Okt tahun depan
Diterbitkan:  Aug 18, 2022 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Sukan Para Asia (APG) di Hangzhou, China yang sebelum ini dijadual berlangsung pada Oktober tahun ini, akan diadakan pada 22 hingga 28 Okt 2023.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dalam kenyataan berkata keputusan mengenai tarikh baharu itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC), Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asia Hangzhou (HAPGOC), Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan China dan pihak berkepentingan lain.

"Tempoh (penganjuran) sukan itu kekal tidak berubah. Tarikh baharu itu dipersetujui selepas mengambil kira temasya Sukan Para biasanya diadakan dua minggu selepas penutupan Sukan Asia.

"... dan untuk memastikan bahawa tarikh yang dicadangkan tidak bercanggah dengan acara antarabangsa yang lain," kata IPC.

Majlis Olimpik Asia (OCA) bulan lepas telah mengumumkan bahawa tarikh baharu sukan Asia, yang pada asalnya dijadualkan diadakan pada Oktober tahun ini, akan ditukar pada 23 Sept hingga 8 Okt 2023.

Sementara itu, Presiden APC Majid Rashed dalam kenyataan juga mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Eksekutif APC kerana meluluskan tarikh baharu itu.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada HAPGOC (penganjur), Jawatankuasa Paralimpik China dan kerajaan wilayah Hangzhou dan Zhejiang atas sokongan dan usaha berterusan mereka untuk memastikan temasya itu berlangsung pada tarikh baharu," tambahnya.

Ini adalah kali kedua China akan menjadi tuan rumah APG selepas kejayaan menganjurkan edisi pertama temasya di Guangzhou pada 2010.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS