Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan dia sudah mengemukakan surat peletakan jawatan pada minggu lepas.

Mohd Saifuddin berkata keinginan untuk kembali menyambung kerjaya di peringkat antarabangsa menjadi sebab dia mengambil keputusan itu.

Tanpa mendedahkan hala tujunya selepas ini, dia berkata satu mesyuarat tergempar dijadual berlangsung di FAM petang ini bagi membincangkan keputusan pengundurannya.

“Alasannya tiada lain disebabkan saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya antarabangsa. Saya pun rasa secara tidak langsung saya telah menyumbang kepada kejayaan FAM (sekarang),” katanya ketika dihubungi Bernama, di Kuala Lumpur.

Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman itu yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada penghujung Ogos tahun lepas turut menafikan laporan media tempatan bahawa dia bakal ‘direhatkan’.

Mohd Saifuddin yang berang dengan laporan itu berkata tiada sebab untuk dia direhatkan apabila telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah selama ini.

“Tiada gesaan (letak jawatan) atau apa-apa, saya (juga) gembira bekerja di FAM. Saya rasa saya tak pernah calarkan nama FAM... jelas juga saya tak ambil dan curi duit FAM atau ambil komisen dan sebagainya,” katanya yang juga bekas pengurus pertandingan liga dan pelesenan kebangsaan di Oman.

Komisioner perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata Presiden FAM Hamidin Mohd Amin adalah sebab untuk beliau kembali bekerja di FAM.

“Beliau (Hamidin) adalah kawan saya, pada masa sama saya nak bantu bola sepak Malaysia. Perkara terbesar telah saya buat (di FAM) adalah membangunkan beberapa liga domestik, beri cadangan mengenai pertandingan Piala Belia dan kongsi idea untuk bantu persatuan bola sepak negeri,” katanya.

Mohd Saifuddin menyertai FAM sejak 1993 hingga 2004 sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung pada 2007 hingga 2009.

Pelantikan sebagai Setiausaha Agung FAM itu dibuat susulan kekosongan ditinggalkan Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

- Bernama