Virandeep sertai pasukan Kathmandu Kantipur pada Liga Kriket T2O Nepal
Pemain kriket kebangsaan Virandeep Singh akan menyertai Liga Kriket Nepal Twenty20 (T20) dari 24 Sept hingga 20 Okt.
Persatuan Kriket Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Virandeep akan mewakili pasukan Kathmandu Kantipur dalam kejohanan itu yang akan berhadapan lima lagi pasukan pada kejohanan yang diadakan buat pertama kalinya.
Virandeep, merupakan salah seorang daripada lima pemain luar selain pemain Sri Langka Thisara Perera, DS Weerakkody, Kamindu Mendis dan Dhanahjaya De Silva, akan menyertai pasukan dianggotai pemain tempatan negara itu.
“Kriket Malaysia berbangga dengan Virandeep Singh. Liga peringkat antarabangsa ini tentunya akan memberikan masa hadapan lebih baik, sesuai dengan komitmen beliau dalam sukan ini,” menurut kenyataan itu.
Tahun lepas, Virandeep menjadi rakyat Malaysia pertama tampil dalam Liga Premier Everest Nepal 2021, selepas menandatangani perjanjian bersama Chitwan Tigers, dan pada Julai tahun ini pemain berusia 23 tahun itu menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan 1,000 ‘larian’ dalam format T20 Antarabangsa.
Beliau lakukan catatan itu ketika membantu Malaysia menewaskan Maldives dengan 94 larian pada Siri Quadrangular T20I Malaysia 2022, pada Julai di Oval UKM, Bangi.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/cf4ca9d4a35fe388e78753b9668ada1c.jpg)
