Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bercadang menaikkan bayaran bantuan kepada ahlinya selepas badan itu menerima peruntukan RM5 juta dalam Bajet 2023.

Pengerusinya Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata kadar kenaikan bayaran bantuan - antaranya sara hidup, kos peralatan perubatan dan kos pesakit luar - akan ditetapkan dalam mesyuarat bersama lembaga pengarah yang bakal diadakan pertengahan bulan ini.

Dia berkata, ketika ini ahli yang memohon bantuan kos sara hidup menerima RM300 sebulan untuk tempoh enam bulan, diikuti RM20,000 diberikan bagi kos peralatan perubatan setahun manakala RM2,500 untuk kos pesakit luar, juga setahun.

“Kami juga akan turun padang lebih kerap dengan berkunjung ke kediaman ahli yang memerlukan keprihatinan di seluruh negara selepas menerima peruntukan dalam Bajet 2023 ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Noorul Ariffin bersyukur kerajaan buat julung kalinya memberi perhatian serta peruntukan kepada Yakeb dalam pembentangan belanjawan sejak yayasan tersebut ditubuhkan pada 2007.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, kerana beliaulah yang minta kerajaan untuk beri peruntukan kepada Yakeb dalam Bajet 2023,” katanya.

Sehubungan itu, Noorul Ariffin yakin peruntukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban 2,975 ahli, dengan 80 peratus daripadanya merupakan golongan B40.

Tengku Zafrul pada pembentangan Bajet 2023 semalam memaklumkan kerajaan menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yakeb untuk 2023 dan seterusnya bagi memastikan kebajikan atlet terus terpelihara.

Sebanyak RM332 juta diperuntukkan bagi industri sukan tanah air dalam Bajet 2023.

- Bernama