Pasangan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei menarik diri daripada Terbuka Denmark 2022, yang berlangsung dari 18-23 Okt selepas Pang Ron dijangkiti ulser kornea pada mata kanannya, baru-baru ini.

Pang Ron berkata jangkitan itu telah menyebabkan gangguan pada penglihatannya dan telah menjalani pembedahan kecil sebelum ia menjadi lebih teruk.

“Saya terkena jangkitan ini dua minggu lepas, yang saya rasakan seperti sesuatu masuk ke dalam mata kanan dan terus pergi ke hospital selepas sehari berasa sakit pada mata.

“Di hospital, doktor pakar maklumkan bahawa saya perlu jalani pembedahan kecil dengan segera untuk mengelakkan menjadi buta. Saya telah dimasukkan ke wad selama seminggu, dan kini semakin baik dan kembali memulakan latihan,” katanya pada media selepas sesi latihan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pang Ron yang pada masa ini masih dalam tempoh pemulihan berkata beliau hanya perlu meletakkan ubat titisan mata bagi mengurangkan kesakitan pada ketika ini.

Oleh kerana mereka akan tidak menyertai Terbuka Denmark, beliau percaya yang kemungkinan besar mereka akan dapat beraksi pada Terbuka Perancis 2022 dari 25-30 Okt dan diikuti Terbuka Jerman Hylo 2022 dari 1-6 Nov.

Walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran pada kedua-dua kejohanan itu, beliau berjanji untuk memberikan cabaran terbaik mereka.

-Bernama