• Dikemas kini dengan perkembangan terbaru.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan lagi harga tiket untuk perlawanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 melibatkan pasukan negara.

Keputusan terbaru itu diumumkan di media sosialnya, kira-kira dua jam selepas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon ia diturunkan lagi.

FAM malah menurunkan harga tiket untuk semua jenis tiket, walaupun Hannah hanya memohon penurunan harga bagi tiket tempat duduk terbuka.

Hannah Yeoh

Berikut harga baru yang diumumkan FAM:

  • Grand stand RM60 (turun RM10)

  • Premium RM50 (turun RM10)

  • Terbuka RM30  (turun RM15)

  • Kanak-kanak RM5 (Turun RM5)

Penurunan hari ini adalah yang kedua setelah harga asal yang diumumkan kelmarin mengundang keluhan penyokong Harimau Malaya.

Terdahulu Hannah memohon supaya harga tiket tier terbuka diturunkan lagi untuk meningkatkan kehadiran dan mempromosikan budaya sukan sekeluarga.

Malaysia akan menentang Laos pada 24 Januari dan Singapura pada 3 Januari di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Hamidin: Ambil kira golongan B40

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin berkata harga tiket itu diturunkan susulan reaksi penyokong.

Katanya, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 berbanding 2018 terpaksa dibuat disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan,termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Hamidin Mohd Amin

Dia juga mendedahkan mengarahkan supaya Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM mendapatkan penyelesaian terbaik dalam memastikan situasi menang-menang antara FAM dan penyokong.

“Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, maka Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah bersetuju dengan cadangan saya supaya harga tiket berkenaan dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong,” katanya.

Dia juga berkata, keputusan itu mengambil kira realiti bahawa majoriti penyokong bola sepak daripada golongan kumpulan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40).