Harimau Malaya terpaksa menelan kepahitan selepas langkah garang mereka terkandas dihalang oleh pasukan Thailand dalam perlawanan Piala AFF yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani malam ini.

Di depan 25,000 penonton yang memenuhi stadium tersebut, skuad kebangsaan Malaysia dipaksa bekerja keras melayan asakan demi asakan dari pasukan lawan.

Setakat 30 minit, Thailand jelas mendominasi perlawanan dengan menguasai sekurang-kurangnya 70 peratus kawalan bola dengan pelbagai percubaan tepat ke pintu gol, manakala Malaysia pula gagal mencari sasaran.

Gawang gol Malaysia digegarkan pemain Thailand seawal minit ke-19 melalui tandukan kencang Teerasil Dangda hasil hantaran bola dari kanan padang sekali gus menundukkan penjaga gol negara, Syihan Hazmi.

Sehingga separuh masa pertama perlawanan berakhir, berbekalkan kelebihan satu gol di tempat sendiri pada 7 Jan lalu, jaringan Teerasil itu meletakkan kedudukan kedua-dua pasukan setara secara agregat.

Bagaimanapun 10 minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula, Bordin Phala meletakkan Thailand berada di depan melalui tendangan kencang kaki kanan dari tengah kawasan penalti.

Dalam keadaan begitu, sebarang jaringan oleh pasukan Malaysia boleh menyelamatkan keadaan berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan.

Namun luka skuad bimbingan Kim Pan-gon sebaliknya bertambah dalam apabila pemain gantian, Adisak Kraisorn - yang dimasukkan pada permulaan separuh masa kedua menggantikan Teerasil - melebarkan lagi jurang jaringan.

Adisak memanfaatkan bola yang melantun ke arahnya selepas terkena tiang gol di sebelah kiri Syihan dengan menolaknya dengan kaki kiri pada minit ke-71.

Kemenangan itu membawa Thailand bertemu Vietnam dalam perlawanan akhir pada 13 dan 16 Jan ini.