Hoki Piala Dunia: Malaysia kalahkan New Zealand 3-2
Jaringan Faizal Saari membantu Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas New Zealand, sekali gus boleh menjangkakan laluan lebih mudah ke suku akhir kejohanan hoki Piala Dunia 2023.
Pada perlawanan terakhir kumpulan C di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India hari ini, Speedy Tigers terlepas peluang menjaringkan gol awal apabila pukulan rendah sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim terkena penjaga gol New Zealand Dixon Dominic pada minit ketujuh.
Bagaimanapun, sentuhan mudah Faizal, 32, selepas menerima lorongan dari Shello Silverius berjaya meletakkan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia di hadapan skuad Black Sticks pada minit kelapan.
Selepas kedua-dua pasukan tidak berjaya menghasilkan sebarang jaringan pada suku kedua, Muhammad Razie menyempurnakan pukulan sudut penalti sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-42.
Percaturan strategi pasukan di ranking kesembilan dunia yang membiarkan gol mereka tanpa penjaga bagi menambah tenaga pemain dalam padang ketika permainan berbaki 10 minit ternyata berhasil apabila meledakkan dua gol dalam tempoh dua minit.
Jaringan pertama New Zealand pada minit ke-51 diperoleh melalui gol padang Phillips Hayden diikuti pukulan sudut penalti yang disempurnakan Lane Sam seminit kemudian.
Faizal muncul wira Speedy Tigers apabila menjaringkan gol kemenangan menewaskan Dominic empat minit sebelum wisel penamat.
Malaysia memulakan kempen kumpulan C dengan tewas 4-0 kepada juata tiga kali Belanda, sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Chile.
Pencapaian terbaik skuad hoki kebangsaan pada saingan Piala Dunia apabila menduduki tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
- Bernama
/file/1104/86003c041bb1bdbb2d01da97c6c631a6.jpeg)
