Mungkin disaman, Zii Jia anggap sedang diuji tuhan
Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia hanya mahu fokus untuk mencapai tahap terbaik biarpun dikhabarkan bekas jurulatihnya Indra Wijaya mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atas dakwaan melanggar kontrak.
Pemain nombor empat dunia itu juga bingung apabila mengetahui mengenai perkara tersebut setelah kedua-duanya berpisah secara baik pada Nov tahun lepas.
Katanya perkara itu yang mengganggu tumpuan dan kini diserahkan kepada peguam untuk tindakan susulan.
“Apa yang saya boleh cakap ialah saya rasa apa yang saya buat mungkin kadang-kadang sangat salah, kadang-kadang sangat betul.
"Apa yang sudah jadi saya tidak boleh ubah tetapi yang saya tahu kami berpisah secara baik.
“Saya pun tak nak komen terlalu banyak sebab komen banyak (nanti) salah banyak, nanti berita pun banyak, saya tidak mahu,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Kem latihan pusat itu diadakan sebagai persiapan skuad negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dari 14 hingga 19 Feb ini.
Mengulas lanjut, Zii Jia yang merupakan juara Asia 2022 mengakui dia terganggu dengan situasi yang dilaluinya ketika beliau sedang memberikan tumpuan untuk membantu skuad negara di BAMTC.
“Saya pun orang, saya ada perasaan dan saya cuba sebaik mungkin untuk selesaikan perkara ini tetapi ia masih berlarutan.
“Sudah tentu saya sedikit kecewa, tapi saya tahu ini satu ujian tuhan bagi pada saya... ini ialah proses,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Dalam pada itu, pengurus Zii Jia yang juga kakaknya, Lee Zii Yii, mengesahkan peguam mereka telah menerima surat daripada peguam Indra.
“Saya tidak pasti apa isi kandungan surat itu. Kami tidak mahu isu ini berpanjangan dan menjadi lebih buruk, biar peguam yang uruskan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan, difahamkan Indra - yang mula melatih Zii Jia sejak Feb tahun lepas - mungkin mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan melanggar kontrak.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasinya, Zii Jia berkata dia dalam proses mendapatkan semula keyakinannya selepas tampil dengan aksi tidak menyakinkan awal tahun ini.
“(Di Dubai) terpulang pada jurulatih nak bagi saya main atau tidak, kalau dipanggil saya bersedia untuk berlawan,” kata juara All England 2021 itu.
Malaysia selaku pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah, di Dubai.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/8be41ccdb74c9c5d8c5450418fc2643a.jpg)
