Isu menghalang pembabitan sukan dalam kalangan kaum bukan Melayu di negara ini semakin berleluasa dan tindakan mencegah situasi itu perlu dilaksanakan dengan tegas.

Jurulatih B Sathianathan berkata sejak berkecimpung dalam arena bola sepak, dia selalu mendengar rungutan ibu bapa masyarakat bukan Melayu-Islam mengenai perkara itu.

"Sejak 10 hingga 15 tahun lalu sering ada ibu bapa mengadu - biasanya orang India atau Cina - yang menyatakan anak-anak mereka dipinggirkan daripada menyertai pasukan bola sepak.

"Biasanya mereka cakap guru-guru hanya pilih pelajar Melayu untuk menyertai pasukan sedangkan anak-anak mereka mempunyai bakat dan potensi," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata demikian sebagai mengulas kes seorang guru didakwa menggalakkan pelajar tingkatan tiga untuk memeluk Islam dengan mendakwa ia akan meningkatkan peluang untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Ibu pelajar terbabit - yang hanya mahu dikenali sebagai Vasan - mendakwa rakan anaknya memaklumkan hanya orang Islam dibenarkan memasuki stadium di negara ini.

Beri kesan pada ibu bapa

Ibu bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan pihak polis mengesahkan kertas siasatan dibuka.

Sathianathan berkata, kes seumpama itu sebenarnya sudah menjadi biasa dan mempengaruhi persepsi ibu bapa bukan Melayu kepada dunia sukan.

Sepatutnya, kata Sathianathan lagi, kejadian sebegitu tidak berlaku di negara ini jika semua pihak benar-benar menghayati prinsip Rukun Negara.

Situasi sedemikian tambahnya boleh menghancurkan industri sukan negara kerana kebolehan dan potensi anak bangsa tidak digilap secara menyeluruh kerana dipengaruhi oleh latar belakang keturunan individu berkenaan.

"Pada zaman saya kecil dulu isu-isu sebegini tidak berlaku, boleh lihat dalam skuad hoki kebangsaan suatu masa dahulu misalnya, ia dipelopori pelbagai kaum, malah penglibatan bukan Melayu lebih ramai.

"Sekarang keadaan itu tidak berlaku lagi kerana kes-kes seperti ini mempengaruhi ibu bapa.

"Jadi mereka beranggapan tidak perlu libatkan anak-anak dalam bidang sukan kerana tiada peluang untuk melangkah lebih jauh.

"Bagaimana seorang guru boleh begitu berani menyentuh sensitiviti kaum dan agama?" tegasnya.

Tambah Sathianathan lagi siasatan dan tindakan ‘di atas kertas’ sahaja tidak akan mencukupi jika dakwaan itu benar-benar berlaku.