Hannah kecam ucapan perkauman bekas pemain pelapis BAM
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan bekas pemain pelapis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Bong Guang Yi melalui akaun Douyinnya baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Yeoh berkata, walaupun bekas pemain tersebut telah meminta maaf, dia sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan Bong yang pernah berada di bawah naungan BAM pada 2014.
“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.

“Saya ulangi pendirian - sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.
Beberapa hari lalu, Bong memuat naik kenyataan berbaur perkauman dan agama semasa mengkritik BAM.
Namun, semalam, dia memuat naik satu lagi video dan mengakui dia sudah "keterlaluan" dan memohon maaf berhubung kenyataannya itu.
Menurut Yeoh, Bong tidak menyertai pasukan badminton Malaysia sejak 2014 dan kini dilaporkan tidak menetap di Malaysia.
Dia kini berpangkalan di China sebagai jurulatih.
Sementara itu, bekas pemain beregu nombor satu dunia Tan Boon Heong turut mengkritik Bong berhubung kenyataannya itu.

“Nak buat bisnes, cari cara yang betul la bro.
“Bukan saja saja nak cakap agama orang, nak view nak famous bukan macam tu…
“Tolong hormati setiap orang,” katatanya di Facebook.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/96730dcbe7ff4df3a2f727d01a1f1bda.jpg)
