Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Prestasi hambar skuad wanita, Michelle beri bayangan lepas jawatan CEO ABM
Diterbitkan:  May 9, 2023 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai memberi bayangan bersedia melepaskan jawatannya susulan prestasi hambar skuad wanita negara yang tersingkir daripada saingan Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, semalam.

Michelle berkata kekalahan mengejut 0-3 di tangan skuad wanita Filipina pada aksi suku akhir di Dewan Badminton Morodok Techo, Stadium Nasional itu merupakan sesuatu kenyataan yang tidak boleh diterima dan memerlukan jalan penyelesaian barisan pengurusan dan kejurulatihan ABM.

“Hakikatnya jurang antara negara kita dengan Filipina sangat jauh, kita mempunyai segalanya berbanding mereka termasuk sokongan penuh persatuan. Mereka kurang berpengalaman dan ada dalam kalangan pemain mereka tidak menyertai perlawanan kompetitif dalam tempoh tiga tahun.

"Alasan (kekalahan) sebab kita menghantar pemain muda, tidak mempunyai pengalaman selain kurang menyertai kejohanan tidak boleh dijadikan alasan kukuh dan kekalahan itu hanya boleh diterima jika kita tewas kepada pasukan yang lebih kuat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di ABM, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Michelle berkata pihaknya dalam masa sama perlu berhenti daripada ‘berselindung’ di sebalik alasan tersebut apabila skuad negara gagal mempamerkan kejayaan dalam mana-mana kejohanan serta temasya di masa akan datang.

Michelle turut meminta pasukannya yang terdiri daripada Pengarah Prestasi Tinggi Dr Tim Jones, Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky serta Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Wong Choong Hann untuk ‘bermuhasabah’ diri susulan aksi hambar skuad badminton wanita di Kemboja itu.

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada telah memainkan peranan penuh menambah nilai kepada atlet ini. Jika tidak boleh lagi berbuat demikian dan impak itu tidak dirasai kenapa kami masih di sini? Mungkin sudah tiba masanya pasukan ini memerlukan ‘angin baharu’,” katanya.

Menurut Michelle, meskipun memiliki perancangan jangka panjang yang dilihat mampu menghasilkan keputusan dimahukan, beliau tanpa berselindung mahu melihat pencapaian dalam tempoh terdekat dijelmakan.

"Perancangan jangka panjang memang ada tetapi mahu tengok juga perubahan dalam tempoh tiga atau enam bulan. Secara jujur, perancangan jangka panjang tidak akan nampak sekarang kerana ia memerlukan masa," katanya.

Semalam, skuad badminton wanita negara sekali lagi mengulangi aksi mengecewakan pada edisi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam sebelum ini selepas tersekat di saingan suku akhir acara badminton berpasukan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS