Polis menahan empat lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun ekoran kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di Ipoh malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kejadian itu berlaku pada jam 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular di WhatsApp memaparkan berlakunya kekecohan tersebut.
"Ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada tahanan mendapati dia positif dadah jenis TFC (ganja)," katanya.
Menurut Yahaya keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.
Katanya kesemua tahanan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Justeru, polis menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat - sama ada video atau gambar - mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.
Media melaporkan perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Selangor FC malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan terbabit.
- Bernama
