Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan mesti dijauhkan dari politik, kata Yeoh
Diterbitkan:  May 21, 2023 1:50 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Sebaik-baik sukan itu mesti dijauhkan dari politik, demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung penglibatan orang politik dalam mana-mana persatuan sukan.

Bagaimanapun, Yeoh tidak menolak kemungkinan akan kepentingan individu berpengaruh bagi memperoleh dana mencukupi serta menyelesaikan masalah kekangan kewangan sesebuah persatuan sukan.

“Tapi cuma untuk pastikan reset sukan negara ini berlaku, persatuan perlu mempunyai dana yang mencukupi untuk bangunkan sukan tersebut.

“Sebab itu juga apabila mereka nak cari dana, mereka akan cari tokoh-tokoh yang mempunyai pengaruh untuk membantu cari dana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Yeoh sebagai permulaan, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjayakan reset sukan negara berikutan bakat-bakat muda hadir dari institusi sekolah serta pengajian tinggi.

"Untuk kita pastikan kita dapat platform paling besar bagi mendapatkan bakat-bakat baru ini, kita tidak boleh bergantung kepada MSN (Majlis Sukan Negara), Putrajaya atau di peringkat kebangsaan sahaja.

"Kita perlu pergiatkan lagi dan saya percaya dengan adanya geran padanan yang diberikan Kementerian Kewangan sebanyak RM40 juta tahun ini, lebih banyak kejohanan seperti hari ini dapat dilaksanakan yang anak-anak kecil boleh datang bersama dan melahirkan minat baru dalam sukan," katanya.

Isu reset sukan negara mula menjadi topik panas susulan rekod terburuk kontinjen Malaysia yang gagal mencapai sasaran 40 pingat emas, serta menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh secara keseluruhan di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS