Misi serampang dua mata Muhamad Afiq di Hangzhou
Pelari pecut para negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah mengintai peluang untuk melunaskan dua misi penting pada penampilan keduanya di Sukan Para Asia, kali ini di Hangzhou, China, dijadual bermula 22 hingga 28 Okt ini.
Selepas pulang dengan tangan kosong pada edisi 2018 di Indonesia, Muhamad Afiq berharap agar dapat menebus kekecewaan tersebut dengan membawa pulang sekurang-kurangnya gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki T12 (masalah penglihatan) di Hangzhou nanti.
Atlet berusia 28 tahun itu juga tekad memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, 11.10 saat (s) ketika merangkul perak acara tersebut di Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan lepas pada temasya sukan empat tahun sekali di China itu.
“Saya harap dapat pecahkan rekod kebangsaan dengan catatan baharu 11 saat di Sukan Para Asia 2022.
“Walaupun pernah menang pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, rezeki di Sukan Para Asia masih belum ada. Sekiranya berjaya catat 11s di Hangzhou, peluang dapat pingat agak cerah,” katanya..
Beliau, bagaimanapun menjangkakan bakal menerima tentangan sengit daripada juara bertahan Mansur Abdirashidov dari Uzbekistan, pemenang perak edisi lepas, Shunya Yamaji dari Jepun serta pemenang emas Sukan Para ASEAN 2023, Eko Saputra dari Indonesia dalam usahanya merebut kedudukan podium di Sukan Para Asia 2022.
Atlet kelahiran Johor yang kini sedang giat berlatih di bawah jurulatih Hamberi Mahat, berkata akan menyertai dua kejohanan tempatan iaitu Terbuka Johor dan Terbuka Kuala Lumpur sebelum ke Hangzhou.
“Insya-Allah saya akan bersaing bersama atlet normal dalam dua kejohanan tersebut yang juga merupakan aksi pemanas badan menjelang Sukan Para Asia 2022,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/4485ade01fecc98d0542a82d231b21f1.jpg)
