Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Golf: Tiada kemunculan Ervin di Sukan Asia Hangzhou
Diterbitkan:  Jul 22, 2023 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Pemain golf profesional lelaki negara Ervin Chang tidak akan beraksi pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, yang akan berlangsung 23 Sept hingga 8 Okt ini.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata beliau kini memberi tumpuan untuk membuat penampilan di Kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) di Bogor, Indonesia pada 27-29 Sept.

Katanya pertembungan tarikh bagi kedua-dua kejohanan itu memaksa beliau memilih satu daripadanya untuk disertai.

“Saya sepatutnya sertai Sukan Asia, tapi tarikhnya bertembung dengan jadual perlawanan saya tahun ini, jadi saya tarik diri daripada temasya itu.

“Saya tidak dapat mewakili negara bagi Sukan Asia kali ini kerana matlamat nombor satu saya tahun ialah untuk menyertai Jelajah Asia,” katanya ketika ditemui di MST Golf Arena di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ervin turut memasang hasrat memburu ranking teratas ADT dengan tekad memegang tiga gelaran jelajah berkenaan.

Beliau pada masa sama turut menyasarkan untuk menjulang dua kejuaraan di Jelajah Toyota bagi tahun ini.

Mei lepas, Ervin mencipta sensasi apabila memegang gelaran Jelajah Toyota, Piala Mirai yang berlansung di Sarawak selepas mengetepikan rakan sepasukan Shahriffudin Ariffin di tempat kedua kejohanan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS