Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MIHF harap MYNISS dibuka semula tahun depan
Diterbitkan:  Aug 19, 2023 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) berharap Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) di Empire City Damansara akan kembali beroperasi tahun depan.

Presiden MIHF, Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah berkata Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) juga telah menunjukkan komitmennya terhadap pembukaan MYNISS dengan menyediakan pakar teknikal untuk menilai semula venue itu.

“Presiden IIHF Luc Tardif kagum dengan MYNISS kerana stadium itu mempunyai kemudahan yang baik, namun sayangnya tidak dapat digunakan sepenuhnya sekarang, kita harapkan ia akan siap menjelang tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam MIHF di Petaling Jaya, malam tadi.

MYNISS yang dilengkapi dengan satu-satunya gelanggang ais bersaiz Olimpik di negara ini, telah menghentikan operasinya pada 2020 berikutan Covid-19.

Lokasi itu sebelum ini pernah menganjurkan acara hoki ais dan luncur ais untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Tardif berhasrat untuk membawa pertandingan dan kongres antarabangsa ke negara ini selepas bekas pemain Kanada itu kagum dengan perkembangan hoki ais di Malaysia.

Sementara itu, Tardif yang mengadakan lawatan tiga hari ke Malaysia bermula Khamis lepas, gembira dengan cara MIHF membangunkan sukan itu di negara ini.

“Terdapat struktur yang bagus dalam MIHF. Ahlinya merupakan orang yang sangat bersemangat dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan … saya suka cara mereka mengawal pembangunan ini,” katanya.

Tardif berkata beliau telah meyakinkan kerajaan bahawa hoki ais mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang lebih jauh di Malaysia, semasa pertemuannya dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim semalam.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang turut hadir pada majlis makan malam MIHF itu berkata Thailand yang bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2025, berminat untuk mengembalikan semula acara hoki ais pada temasya sukan dwitahunan itu selepas KL 2017.

“Sekiranya Thailand bersetuju untuk memasukkan hoki ais, terdapat kemungkinan besar yang sukan itu juga akan ada pada temasya Kuala Lumpur 2027 dan Singapura 2029,” katanya.

Sukan SEA 2025 akan diadakan di Bangkok-Chonburi-Songkhla dari 9 hingga 20 Dis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS