Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 15-1 selepas membelasah Kelantan FC 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor itu, kesemua gol skuad Harimau Selatan disumbangkan tujuh pemain dengan penyerang prolifik Bergson Da Silva mencipta hatrik manakala Takahiro Kunimoto meledak dua jaringan.

Pesta gol skuad bimbingan Esteban Solari itu bermula apabila Bergson memecah kebuntuan pada minit ke-21 diikuti dua jaringan Kunimoto masing-masing pada minit ke-24 dan ke-37 sebelum Bergson meletakkan pasukan selesa mendahului 4-0 dua minit sebelum waktu rehat.

Bersambung babak kedua, JDT terus bernafsu merobek benteng pertahanan Kelantan dengan meledak empat gol lagi dalam tempoh 11 minit masing-masing menerusi Juan Muniz pada minit ke-53, Daryl Sham (59), Heberty Fernandes (61) dan Arif Aiman Mohd Hanapi (64).

Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-72 yang juga hatrik pertamanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini sebelum pemain gantian Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri mengesahkan kemenangan besar JDT dengan gol ke-10 sebelum wisel penamat dibunyikan.

JDT akan membuat perhitungan menentang pemenang antara Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC yang akan berentap dalam satu lagi aksi kedua pusingan 16 terbaik esok.

Sementara itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), juara 33 kali Selangor FC mengesahkan tempat di suku akhir dengan kemenangan agregat 5-3 biarpun tewas 1-2 kepada PDRM FC.

Skuad Gergasi Merah yang menang 4-1 pada aksi pertama, melebarkan jurang jaringan menerusi Yohandry Orozo pada minit ke-25 selepas bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat kencang bola menewaskan penjaga gawang Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Skuad bimbingan Datuk Ahmad Yunus Mohd Alif bangkit menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian selepas penyerang Mohamad Nabil Ahmad Latpi menolak masuk bola hantaran Uche Agba yang bijak melepaskan diri daripada perangkap ofsaid pertahanan Selangor.

Kesilapan pertahanan Selangor Harith Haiqal Adam yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada masa kecederaan memberikan gol kedua buat PDRM.

Selangor akan berdepan Terengganu FC di pentas suku akhir yang dijadual bermula 15 Sept ini.

Naib juara tiga kali Sabah FC turut menempah tempat di suku akhir dengan agregat 4-1 selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Kuching City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Rizal Ghazali menjadi penyumbang gol tunggal skuad Sang Badak pada minit ke-28 sebelum Rames Lai menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

- Bernama