Selepas menafikan Hong Kong daripada memenangi acara berpasukan skuasy wanita, di Sukan Asia Hangzhou, Malaysia sekali lagi mengecewakan mereka, kali ini menerusi acara perseorangan wanita.
Emas keempat negara itu disumbangkan oleh jaguh skuasy negara S Sivasangari yang mengalahkan bintang Hong Kong, Chan Sin Yuk.
Dalam acara final hari ini, pemain negara berusia 24 tahun itu, dua kali bangkit semula untuk mengesahkan keputusan 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10 dalam pertarungan selama 64 minit di Gelanggang Skuasy Pusat Olimpik Hangzhou.

Kejayaan amat mendebarkan itu menyaksikan Sivasangari, selaku pembawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian temasya itu, meraih emas kedua buat dirinya selepas membantu skuad wanita negara merangkul emas dalam acara berpasukan, Sabtu lalu.
Selain itu, pemain ranking ke-37 dunia dan lebih mesra disapa sebagai Sangari, turut berjaya menebus kecewaan ke atas Sin Yuk pada final Kejohanan Asia di Hong Kong, Jun lalu.
