Palestin menarik diri dari Pestabola Merdeka 2023 minggu depan susulan peperangan antara pasukan bersenjata Hamas dan Israel.

Justeru hanya tiga pasukan akan meneruskan saingan iaitu Malaysia, India dan Tajikistan bermula 13 Oktober ini.

“Pasukan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai edisi ke-42 ini kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika ini,” menurut FAM.

Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan (4.30 petang) manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam) pada Jumaat, 13 Oktober.

Dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga (4.30 petang) manakala dua pasukan yang menang akan ke final (9.00 malam) pada Selasa, 17 Oktober.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun berdasarkan situasi terbaru, Malaysia kekal bertemu India pada Jumaat manakala Tajikistan mendapat 'bye' dan akan terus layak ke final.

“Perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin,” kata FAM.