TMJ sindir Hans Isaac isu padang stadium nasional
Isu permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Melalui satu hantaran di laman sosialnya, Tunku Ismail secara sinis memuat naik komen mengenai mutu padang dengan memetik nama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Hans Isaac.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, keadaan padang berada 'dalam standard yang bagus' bagi menghadapi final Piala Malaysia 2023 empat hari lagi.
“Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi,” tulis TMJ.
Isu keadaan padang SNBJ menjadi perhatian selepas Konsert Coldplay berakhir yang menyaksikan sebahagian permukaan padang kurang memuaskan.
Pada 24 Nov lalu, TMJ berkongsi gambar keadaan rumput di stadium berkenaan.
Hantaran itu menunjukkan seolah-olah TMJ tidak berpuas hati terhadap kualiti padang selepas konsert itu berlangsung dengan dihadiri lebih 75,000 penonton.
Menerusi gambar yang dikongsi, beberapa bahagian padang terutama di kawasan ‘gelanggang keramat’ Harimau Malaya dilihat lompong dan tidak kelihatan rumput berwarna hijau lagi.
Padang SNBJ yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu pernah dikritik hebat apabila ada bahagian yang tercabut ketika aksi Harimau Malaya menentang India dan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung bulan lalu.
PSM sebelum ini memberi jaminan keadaan padang akan kembali pulih dan dapat digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara JDT menentang Terengganu yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini.
“Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi kepada Bernama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/12/2ca7c4faa747c94dfc6992a7f51857fe.jpg)
