Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Perjalanan tahun baru Harimau Malaya penuh dengan harapan
Diterbitkan:  Jan 1, 2024 10:54 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon berlepas ke Doha, Qatar awal pagi tadi bagi menghadapi cabaran Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 12 Jan sehingga 10 Feb 2024.

Kesemua pemain dan barisan kejurulatihan kelihatan segar dan bersemangat, selain sempat mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada peminat dan kumpulan media yang menanti ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang, lewat tengah malam tadi.

Pasukan negara dijadual berlepas ke Doha pukul 2.25 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH164.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan kempen saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir 25 Jan.

Skuad Harimau Malaya menyasarkan untuk melakar sejarah layak ke pusingan 16 terbaik buat julung kali selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.

Sebagai pemanas badan, anak buah Pan Gon akan berdepan Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Doha, 8 Jan ini.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS