Langkah Harimau Malaya belum berakhir
Kim Pan Gon mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan itu bagaimanapun menyifatkan kekalahan mereka bukan pengakhiran buat anak buahnya yang kini perlu mengharapkan keajaiban pada baki perlawanan yang ada.
Untuk melengkapkan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 skuad negara dijadual menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun, dan menamatkan saingan kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
“Ini perlawanan yang sangat sukar... sebagai ketua, sebagai jurulatih, (saya) mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat memberikan anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik.
“Kita masih ada dua lagi perlawanan dan jika ada keajaiban kita masih mempunyai peluang.
"Lebih baik jangan berputus asa dan berjuang sehingga ke akhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pengendali dari Korea Selatan itu pada masa sama optimis para pemain negara mampu menggunakan peluang sebaiknya untuk mempamerkan kebangkitan sekembalinya mereka ke pangkuan kelab masing-masing apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirai Mei ini.
Sementara itu, jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy, mengakui kunjungan anak buahnya ke SNBJ mendatangkan cabaran sukar dibandingkan pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan sebelum ini di Muscat minggu lepas.
Katanya berbekalkan semangat berpasukan mereka berjaya menjelmakan keputusan seperti diinginkan.
Kekalahan kedua berturut-turut dengan keputusan sama dengan Oman menyukarkan misi Malaysia untuk untuk layak ke Piala Asia 2027 lebih awal dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata manakala Kyrgyzstan naik ke tempat teratas hasil kemenangan mengatasi Taiwan 5-1 juga pada malam tadi.
Mereka berkongsi mata dengan Oman namun dibezakan oleh jaringan gol.
Taiwan tercorot tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/de6cef07111db31663755804d7dceb95.jpg)
