Polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi sehingga mengganggu siasatan terhadap kes serangan ke atas pemain bola sepak negara ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif kejadian berkenaan.

Antara dakwaan yang tidak sepatutnya berlaku, katanya, ialah mengaitkan insiden tersebut dengan pihak istana.

“Jangan timbulkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan termasuk mengaitkan dengan istana," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Kes serangan terhadap pemain bola sepak bermula dengan insiden didakwa samun menimpa pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid, pada awal bulan ini.

Ia kemudian melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, yang disimbah asid sehingga menyebabkan kesan kecederaan teruk.

Insiden ketiga pula melibatkan pemain JDT, Safiq Rahim.

Polis setakat ini sudah menahan dua suspek bagi membantu siasatan kes membabitkan Faisal.

Razarudin berkata, ketika ini polis sendiri belum mengetahui motif serangan berkenaan namun ada pihak tertentu yang membuat dakwaan sebaliknya.

Kata Razarudin mereka membuat dakwaan yang tidak berasas.

"Apabila ada (pihak) yang menyebut kononnya ada pembabitan pihak istana dalam kes ini, ini adalah benda-benda yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan kita (polis) sendiri belum dapat motif sebenar," katanya.