Polis sedang memburu suspek yang disyaki memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dan melarikan sebuah motosikal milik mangsa di Shah Alam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada pemain itu sendiri kira-kira jam 11.30 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih datang ke rumah Ahmad Khuzami, 31, sebelum melarikan motosikal jenis Yamaha Y15R milik mangsa.

“Dua suspek dipercayai datang menggunakan MPV dengan seorang daripadanya bertindak melarikan motosikal manakala seorang lagi memandu MPV ketika meninggalkan rumah mangsa.

“Semasa kejadian, mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan media di Shah Alam hari ini.

Mohd Iqbal berkata, selain melarikan motosikal dan empat beg pelbagai jenama, polis mendapati kejadian tidak melibatkan kehilangan wang tunai dan barangan berharga lain.

Terdahulu, Ahmad Khuzaimi menggunakan media sosial untuk berkongsi laporan polis yang dibuat berhubung kes pecah masuk rumahnya. Dia juga kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsa.

Menurut Ahmad Khuzaimi, dia menyedari kejadian itu sejurus pulang dari sesi latihan kira-kira jam 9 malam selepas mendapati pintu pagar depan dan belakang rumah telah terbuka.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Ins Laymand Rayne di talian 014-6907071 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama