Nadal mungkin tak sertai Terbuka AS
OLIMPIK PARIS | Pemain Sepanyol Rafael Nadal mendedahkan dia mungkin tidak beraksi dalam Terbuka AS pada hujung Ogos ini, sekali gus memberi bayangan kariernya bakal berakhir tidak lama lagi.
Juara Terbuka Perancis sebanyak 14 kali itu - yang bergandingan dengan Carlos Alcaraz - melambaikan tangan dengan penuh makna kepada penonton di Court Philippe Chatrier di Paris selepas tumpas dalam acara beregu lelaki kepada pilihan keempat dari AS dalam saingan Olimpik kali ini.
Ditanya sama dia ke New York untuk Terbuka AS, Nadal, 38, berkata: “Nampaknya tidak, tetapi saya akan maklumkan kepada anda tidak lama lagi. Buat masa ini, saya tidak dapat memberi jawapan yang jelas, saya memerlukan sedikit masa. Tetapi nampaknya sukar untuk saya.”
Sementara itu, menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Alcaraz, Nadal menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai masa depannya.
“Jika saya 10 tahun lebih muda, kami akan mencipta gandingan hebat di gelanggang dan berkongsi banyak detik indah bersama, tapi itu tidak akan berlaku.
"Kita lihat sama ada saya akan terus bermain dalam jelajah biasa (atau tidak). Sudah tentu saya akan menyokongnya dari rumah dan mendoakan yang terbaik untuk dia setiap masa.
"Sama ada saya akan terus bermain atau tidak, saya memang cintakan tenis,” katanya.

Dia juga berharap untuk menamatkan karier Olimpiknya dengan pingat ketiga selepas sebelum ini memenangi emas dalam acara perseorangan dan beregu.
Namun penonton yang bersemangat gagal membantu dia dan Alcaraz mengatasi lawannya yang beraksi lebih baik.
“Sangat mengecewakan apabila tidak dapat membawa pulang pingat untuk Sepanyol.
"Saya mencuba yang terbaik setiap minit saya berada di gelanggang, tetapi ia tidak cukup untuk mencapai matlamat kami.
“Jika itu kali terakhir, ia adalah perasaan dan emosi yang tidak dapat dilupakan. Mereka memberikan saya kasih sayang dan sokongan setiap saat saya berada di gelanggang.
“Pada tahap kerjaya saya sekarang, saya bermain untuk perasaan, saya bermain untuk emosi lebih daripada keputusan,” katanya.
- Bernama/dpa
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/9d71b57e423cb0c272a227cd03e6c34f.jpg)
