Kemaraan pasangan beregu wanita badminton negara Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan disangkal wakil dari China dalam saingan separuh akhir pentas Olimpik Paris 2024, petang ini.
Tewas dalam set pertama di tangan pasangan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, mereka kemudiannya bangkit memenangi set kedua sekali gus mengherat perlawanan ke set penentuan.
Perlawanan set pertama menyaksikan Tan dan Thinaah tewas dengan mata 12-21 mempamerkan pasangan dari Tembok Besar itu seolah-olah begitu mendominasi.
Namun set kedua menyaksikan kemaraan bergaya dilakukan pasangan negara untuk membuktikan mereka bukanlah saingan mudah.
Ketinggalan pada awal permainan bagaimanapun mereka berjaya memintas kedudukan sebelum mengakhir set kedua dengan kemenangan 21-18.
Tumpuan pada set penentuan (rubber set) menyaksikan kesungguhan pasangan atlet mengheret permainan menjadi lebih menarik.
Namun perjuangan mereka berjaya disangkal pasangan Qing Chen- Yi Fan yang berkesudahan dengan mata 15-21.
Ini adalah kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan di ranking teratas dunia itu dalam Sukan Olimpik Paris selepas tewas 17-21, 20-22 pada aksi peringkat Kumpulan A, Sabtu lalu.
Semalam, pasangan Malaysia itu mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong yang juga pemenang pingat gangsa edisi lalu dengan 21-12, 21-13.
Pearly-Thinaah akan menentang sama ada satu lagi pasangan China, Liu Shengshu-Tan Ning atau wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam penentuan pingat gangsa.