Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Zii Jia singkirkan Antonsen, tempah slot separuh akhir
Diterbitkan:  Aug 3, 2024 7:16 AM
Dikemaskini: 11:16 PM

Jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia berjaya melangkah ke separuh akhir di temasya Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan wakil Denmark, Anders Antonsen, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan suku akhir itu, set pertama menyaksikan Zii Jia tidak terlalu bekerja keras, sebaliknya hanya melayan rentak permainan lawan.

Namun, pemain kelahiran Kedah itu dilihat kekal berwaspada selain memastikan dia mengungguli pungutan mata walaupun cuba ditentang sengit pemain di ranking ketiga dunia berkenaan.

Zii Jia tampil membuktikan pertemuan itu berpihak kepadanya dengan menamatkan set pertama dengan mata 21-17.

Saingan di set kedua turut menyaksikan wakil Malaysia tidak terlalu agresif, dan turut diganggu kesilapan mudah tetapi dia kekal mengawal permainan.

Tempo perlawanan sesekali bertukar rancak apabila Antonsen cuba mengasak ketahanan Zii Jia untuk mengimbangkan pungutan mata.

Bagaimanapun Zii Jia tampil membuktikan kedudukannya di ranking ketujuh dunia hanyalah ‘angka semata-mata’ selepas menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-15.

Kejayaan itu sekali gus rekod baru peribadi diciptanya di pentas Olimpik selepas penampilan pertama di Tokyo 2020 berakhir dalam pusingan 16 terbaik.

Pada aksi separuh akhir nanti Zii Jia dijadualkan berdepan cabaran wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn untuk penentuan slot perlawanan akhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS