SUKMA SARAWAK | Pernah menjadi mangsa buli mendorong P Moganarrajan menceburi sukan tae kwan do yang pada awalnya dipelajar sebagai cara untuk mempertahankan diri.

Namun siapa sangka wakil Johor itu mampu berada di podium utama selepas memenangi pertarungan bawah 54kg menumbangkan wakil Negeri Sembilan, Ahmad Muhaimin M Al Hafiidz, dengan mata 2-1 untuk pingat emas.

Mengimbau kisah ‘terjebak’ dalam sukan tae kwan do, Moganarrajan, 20, berkata dia didaftarkan oleh bapanya, I Perumal, 67, untuk mempelajari seni mempertahankan diri ketika berusia 12 tahun.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan menggenggam pingat emas, Moganarrajan tetap terkilan kerana tidak dapat meraikan kejayaan tersebut bersama bapanya kerana lelaki terbabit meninggal dunia pada Feb lepas.

“… dari budak kecil semasa saya masuk tae kwan do ini, orang buli saya dekat sekolah rendah. Baling batu, pukul… Itulah (kenapa) ayah saya masukkan dalam tae kwan do namun dia telah meninggal dunia.

“Sebelum meninggal, dia ada minta (pingat) emas sebab itu saya usaha tapi ayah tiada untuk tengok.

"Tapi semua master (tae kwan do) ada untuk saksikan kejayaan bersama ibu yang turut hadir,” katanya kepada pemberita di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Moganarrajan yang mempunyai raut wajah tenang dan sedikit pemalu juga menasihatkan agar pembuli menghentikan perbuatan tidak bermoral itu supaya mangsa tidak terus dibelenggu masalah kemurungan dan ketakutan.

Sementara itu, jurulatih skuad tae kwan do Johor, G Loorthunathan, percaya Moganarrajan mempunyai potensi hebat kerana mempunyai kekuatan fizikal dan mental.

“Memang dia sudah dipanggil menyertai pasukan kebangsaan sebelum Sukma,” katanya.

- Bernama