Akademi Badminton Malaysia (ABM) dijangka membuat rombakan barisan kejurulatihan pada 24 Sept ini, kata pengarah kejurulatihannya, Rexy Mainaky.

Menurut Rexy pihak pengurusan tertinggi badan induk itu akan mengadakan mesyuarat pada tarikh tersebut bagi membincangkan perkara berkenaan secara terperinci.

“Setakat ini perbincangan untuk menambah atau merombak jurulatih akan diadakan pada 24 Sept ini dan melibatkan bahagian perlu sahaja.

"Sudah ada 'calon', tapi akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya kepada pemberita di ABM di Kuala Lumpur hari ini.

Mei lepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pernah mengiklankan kekosongan jawatan bagi mencari jurulatih perseorangan lelaki baru buat skuad senior kebangsaan.

Sementara itu Rexy berkata mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan keperluan mengecilkan jumlah pemain dalam skuad senior dan remaja kebangsaan.

Hal itu kerana, katanya, jumlah pemain dimiliki kedua-dua pasukan berkenaan agak tinggi berbanding keperluan sebenar iaitu sekitar 50 pemain bagi skuad senior dan remaja.

“Sekarang 70 (pemain remaja) manakala senior ada lebih 50 pemain. Jadi kita akan bincang dengan jurulatih semua berapa jumlah ideal dalam setiap pasukan,” katanya.

- Bernama