Antara cinta tanah air & cinta penguasa

Hadis ‘Cintakan tanahair itu daripada iman' tidak sahih. Bahkan ia hadis maudu' (palsu). Ini dinyatakan oleh al-Saghani (meninggal 650H/1252M) dalam karyanya al-Maudu‘aat. Ini dipersetujui oleh para ilmuwan ulung hadis seperti yang disebut oleh ‘Ali al-Qari dalam bukunya al-Masnu' fi Ma'rifat al-Hadith al-Maudu'.

Walaupun hadis ini palsu (fabricated) dari sudut kesabitannya (authenticity) daripada Nabi Muhammad SAW, namun ada tokoh seperti Muhammad Tahir al-Fatani (meninggal 986H/1578M) dari India dalam karyanya Tazkirah al-Maudu‘aat menyatakan dari sudut maksud ataupun isi kandungannya benar.

Dalam kata lain menurut pendapat beliau, hadis ini memang tidak sabit daripada Nabi SAW, tetapi kandungan maksud yang terdapat dalam teks itu benar. Ertinya, cinta tanahair itu termasuk dalam iman.

Pun begitu, sarjana hadis lain seperti Muhammad Nasir al-Din al-Albani memberikan komentar yang berbeza. Dalam karyanya Silsilah al-Da'ifah wa al-Maudu'ah, beliau menyebut:

"Makna hadis ini tidak betul. Ini kerana cintakan tanahair sama seperti cintakan nyawa, harta dan seumpamanya. Semua itu sudah wujud dalam jiwa insan. Tidak dipuji kerana mencintainya, tidak juga ia termasuk dalam kelaziman iman. Tidakkah engkau lihat semua manusia berkongsi cinta tersebut? Tiada beza antara yang mukmin dan yang kafir" (1/110. Riyadh: Maktab al-Ma'arif).

Fitrah

Pendapat al-Albani ini benar dari satu sudut bahawa ia sesuatu yang termasuk dalam gharizah iaitu tabiat semulajadi insan ataupun fitrah. Namun menyatakan ia tidak terpuji adalah sesuatu yang kurang tepat. Islam memuji manusia yang hidup berpegang kepada fitrah.

Sayang harta yang mengelakkan pembaziran dipuji dalam Islam. Sayang nyawa yang menghalang kemusnahan diri diperintahkan oleh al-Quran. Pembaziran dan pemusnahan jiwa diharamkan. Sudah pasti cinta tanahair yang menghalang kerosakannya sesuatu yang dipuji.

Sesuatu yang sama antara Muslim dan non-Muslim bukan bererti tidak dipuji dalam Islam. Menyayangi anak-anak dan ibubapa sesuatu yang dikongsi oleh Muslim dan bukan Muslim. Ia terpuji. Menghilangkan bahaya di jalanan, termasuk dalam cabang iman.

Orang bukan Muslim juga melakukannya. Walaupun untuk mereka ia tidak termasuk dalam iman tetapi mereka juga melakukannya. Ia sesuatu yang terpuji. Persamaan tidak menafikan kebaikan. Pandangan al-Albani di sini kurang kemas untuk diterima.

Kasih Nabi Muhammad SAW

Apa yang saya hendak sampaikan, betapa kecintaan kepada tanahair adalah sesuatu yang terpuji. Ia termasuk dalam fitrah insan untuk mencintai tanahairnya. Nabi Muhammad SAW pun cintakan tanahairnya iaitu Mekah.

Apabila dihalau oleh penduduk Mekah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terpaksa berhijrah ke Madinah. Para sahabat termasuk Bilal bin Rabah yang merupakan seorang hamba abdi ketika di Mekah, demam merindui Mekah. Apatah lagi Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan bangsawan Mekah. Apabila Nabi SAW mengetahui keadaan itu, baginda berdoa:

"Ya Allah! Jadikanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami kepada Mekah, ataupun lebih dari itu" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengucapkan untuk Mekah: "Alangkah indah engkau (Mekah) sebuah negara. Alangkah sayangnya daku kepadamu. Jikalau tidak kerana kaumku menghalau daku keluar darimu, aku tidak akan menetap selain darimu"(Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Sekalipun Nabi SAW terpaksa bertempur dengan pasukan tentera Mekah yang dikuasai rejim Quraish yang zalim, itu tidak pernah mematikan rasa kasih dan sayang kepada tanah air baginda iaitu Mekah.

Demikianlah juga perasaan para sahabah yang terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah yang mereka kasihi. Fath al-Makkah ataupun Pembukaan Mekah di mana Nabi SAW kembali mengambil alih Mekah dengan kuasa tentera bersama orang lain dari luar, adalah kemuncak kecintaan kepada Mekah. Mereka membersihkan Mekah dari kesyirikan, kezaliman, penindasan dan selainnya. Itu tanda kasih mereka kepada Mekah.

Patriotik

Kasihkan watan adalah sesuatu yang fitrah. Orang Melayu bermadah ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain'. Tanahair ialah tempat kelahiran kita dan keluarga. Membesar dalam persekitarannya. Mencium udaranya. Meminum airnya. Memakan makanannya. Melihat budaya, warna dan rupa saban masa dalamnya.

Lebaran kenangan diari kehidupan yang tersimpan tentangnya. Jiwa yang normal pasti akan menghargai dan mengasihi. Sayang dan ingin membelanya dari kerosakan. Itu makna patriotik yang sebenar.

Perlu diingat, semangat sayang dan kasih kepada tanahair tidak berkaitan dengan kecintaan kepada kuasa politik yang menguasainya. Orang Pulau Pinang yang sayangkan Pulau Pinang tidak semestinya sayangkan pemerintahannya, demikian Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain.

Orang Malaysia sayangkan watan ini, cintakan tanah tumpah darah ini tidak semestinya bersetuju ataupun mencintai kuasa politik yang memerintah di dalamnya. Perlu dibezakan antara semangat patriotisme dan nationalisme.

Dalam The Blackwell Encyclopedia of Political Thought, disebut:

Patriotism: a love of one's homeland, implying a readiness to act in its defense and to favour it in other dealings. It is often confused with nationalism, but is a far older idea, and carries with a less theoretical baggage. Nationalism presupposes that nations exist as real and distinct entities; patriotism, on the other hand, may simply involve attachment to a physical locality or a way of life, and need not involve any abstract idea of ‘country'.

Jangan Nafikan

Tiada pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang berkuasa dalam watannya atas nama semangat patriotisme. Tiada siapa pula yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana dia tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya. Kuasa politik boleh datang dan pergi. Boleh bertukar ganti.

Sultan dan menteri juga boleh dibuang ataupun dipasang. Hanya keadaan yang menentukan. Namun hakikat bahawa tanahair dan watan ini adalah milik kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.

Justeru, penentangan terhadap kuasa politik di watannya yang seseorang tinggal dalamnya tidak menafikan cinta dan sayangnya dia kepada tanahairnya. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah. Mereka kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah yang zalim. Bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah dan membebaskan Mekah dari kuasa yang zalim tersebut. Itu semua tidak menafikan cinta Nabi SAW kepada Mekah.

Orang Kelantan yang tidak suka PAS bukan bererti tidak sayang Kelantan. Orang Penang yang tidak suka DAP bukan bererti tidak sayang Pulau Pinang. Orang Selangor yang tidak suka PKR bukan bererti tidak sayang Selangor. Orang Malaysia yang tidak suka BN bukan bererti tidak cintakan negara.

Begitulah seterusnya. Mungkin yang rakyat tidak suka itu ialah penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta rakyat oleh mereka yang memegang tampuk-tampuk tersebut. Namun, sayang negeri dan negara tetap kekal.

Jadi mereka jangan cuba menafikan kecintaan seseorang kepada tanahair; negeri ataupun negara mereka hanya kerana tidak mendapat sokongan politik yang idamkan.

Sesiapa yang sayangkan tanahairnya lalu enggan watannya dirosakkan. Rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanahairnya, dia seorang yang patriotik!

Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.