Kelantan menjangkakan dua syarikat tempatan memulakan perlombongan unsur nadir bumi (REE) tahun depan manakala Kedah menggesa Putrajaya mempercepat penggubalan dasar industri itu bagi membolehkan negeri menjana hasil baru.

Perkembangan itu berlaku ketika empat negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) dalam kerjasama ekonomi SG4 kembali menggesa supaya diberi kawalan lebih besar terhadap sumber asli dan keutamaan pembangunan masing-masing.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dipetik media tempatan berkata kelewatan penetapan dasar persekutuan menghalang pelaburan dan menangguhkan peluang negeri menjana hasil.

BH Online melaporkan Sanusi memaklumkan beberapa syarikat di Kedah sudah menyelesaikan penerokaan REE dan bersiap sedia untuk beralih kepada perlombongan.

Gambar fail, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150, Sanusi Md Nor and Anwar Ibrahim and Wan Rosdy bin Wan Ismail and Amirudin Shari

“Buat dasar cepatlah. Pelabur sudah masuk dan selesai proses penerokaan.

"Kita mahu memberikan lesen perlombongan, tetapi mereka perlu menyediakan skim perlombongan, EIA dan memenuhi keperluan lain.

"Bila kelulusan lambat, proses teknikal turut lambat. Akhirnya, hasil baharu negeri tertangguh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan dipetik Bernama berkata dua syarikat yang berkenaan akan menjalankan kegiatan perlombongan REE dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Katanya, kedua-dua syarikat itu kini pada peringkat akhir proses mendapatkan kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita sedang mendapatkan kelulusan EIA daripada JAS. Kerajaan negeri mempunyai kaedah tersendiri untuk pemasaran hasil berkenaan.

"Isu perlombongan REE sering dilihat sebagai isu negeri, sedangkan pada peringkat Persekutuan, perkara itu masih belum begitu jelas,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu pada 29 Okt.

Dia tidak menamakan syarikat berkenaan atau mendedahkan lokasi perlombongan yang dicadangkan.

Kedah dan Kelantan menganggotai SG4, platform kerjasama ekonomi yang turut merangkumi Terengganu dan Perlis, juga ditadbir PN.

Pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 di Kuala Lumpur pada 26 Okt, Sanusi mendakwa Putrajaya menggunakan alasan keselamatan negara untuk menghalang negeri memanfaatkan sumber REE masing-masing.

Menurut HarakahDaily, dia berhujah negeri perlu diberi autonomi lebih luas untuk membangunkan kekayaan mineral sendiri supaya tidak terlalu bergantung pada peruntukan persekutuan.

Pemimpin SG4 turut menggariskan rancangan memperkukuh kerjasama ekonomi pada forum itu, dengan menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) gabungan sebanyak RM723 bilion menjelang 2050.

Gambar hiasan, perlombongan REE.

Dalam pada itu, Sanusi berkata Kedah mahu membangunkan industri hiliran REE supaya mineral berkenaan diproses dalam negara, bukan sekadar dieksport sebagai bahan mentah.

“Kita ada kilang Lynas dan akan ada pelabur yang bersedia pada bila-bila masa sekiranya mendapat kelulusan untuk menjalankan proses penguraian 17 elemen itu di sini.

“Kita mahu elemen itu diuraikan di sini supaya ada projek-projek hiliran daripada REE. Kita tidak mahu menjual bahan mentah sahaja,” katanya.

Kilang Lynas di Malaysia (gambar bawah) terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Sanusi turut dilaporkan berkata dia menerima maklumat mengenai kemungkinan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) persekutuan mengambil alih pengurusan industri REE negara. Namun, dia mengakui maklumat itu belum disahkan secara rasmi.

Malaysia mengawal eksport REE mentah bagi menggalakkan pemprosesan dalam negara.

Bagaimanapun, garis panduan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertarikh 1 Okt 2026 sudah menyediakan mekanisme pertimbangan eksport bersyarat bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan atau pemprosesan untuk membangunkan rantaian nilai industri tempatan.

Bagi eksport untuk pemprosesan, antara syaratnya komitmen membangunkan kemudahan pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan.

Kerajaan sebelum ini menganggarkan sumber REE negara sebanyak 16.1 juta tan, dengan nilai potensi RM970 bilion.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 29 Okt menolak dakwaan Putrajaya meminggirkan negeri SG4.

Katanya, perbelanjaan pembangunan persekutuan di empat negeri berkenaan mencapai 6.8 kali ganda jumlah perbelanjaan pembangunan gabungan kerajaan negeri terbabit.

Menurut Bernama, Akmal Nasrullah memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan persekutuan turut membiayai pembangunan infrastruktur utama dan kawasan perindustrian, termasuk projek di Tok Bali, Kelantan, serta Kulim, Kedah.

Dia menjawab gesaan Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) supaya kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan pembangunan untuk negeri SG4, Sabah dan Sarawak.

Akmal Nasrullah berkata peruntukan perlu mengambil kira keperluan pembangunan setiap negeri dan tidak dinilai berdasarkan jumlah wang semata-mata.