Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 23 November 2013, aku terbaca satu berita dari Guardian London tentang tiga perempuan ‘hamba abdi' yang dibebaskan oleh Ngo Freedom Charity.

Dari laporan berita, salah seorang perempuan yang dikatakan ‘hamba' ialah warga Malaysia yang berumur 69 tahun. Aku mengambil berita ini dan memasukkan ke dalam blog Tukar Tiub.

Dalam blog Tukar Tiub aku meminta pembaca meneka siapakah tuan pemilik hamba ini. Apakah orang Swiss? Jerman? Jepun atau Tok Arab? Ketika aku bertanya kepada pembaca, dalam kepala aku menjangkakan tuan hamba abdi ini pastilah Tok Arab.

Ini kerana ketika aku di London dahulu, pernah terjadi seorang perempuan dari India atau dari Sri Lanka telah melarikan diri setelah dijadikan hamba oleh satu keluarga Arab.

Malah hingga ke hari ini urban legend selalu bercerita tentang betapa ramainya perempuan India, Sri Langka, Nepal dan Indonesia yang hilang tanpa khabar berita di negara Arab. Mereka menjadi hamba Tok Arab.

Esoknya, Ahad 24 November, berita ‘hamba abdi London' ini menggemparkan dunia. Dari Guardian aku membaca satu perkembangan baru. Perempuan yang dijadikan ‘ hamba' ada bersangkutan dengan Marxist Collective di Brixton, London.

Bila terbaca sahaja berita ini aku gugup. Brixton? Tempat tinggal aku dahulu. Aku terperanjat. Kepala aku mengingati seribu satu macam perkara. Aku tahu nama perempuan itu. Tapi kepada siapa aku ingin bersuara? Kepada siapa ingin aku berkisah? Kepada Jai dan Ezi - dua ekor anjing, kepada Curvey sang kucing atau kepada Sepang dan Gate - dua ekor kura-kura? Mustahil mereka ini akan faham.

Sesudah membaca Guardian berulang kali, aku bertambah yakin aku tahu siapa perempuan Malaysia itu. Malah aku tahu apa dia surah dah kisahnya yang dipanggil Marxist Collective. Tetapi pagi Ahad itu tiada siapa yang boleh aku lawan berlabun. Maka apa yang tersimpan dalam kepala aku hilang melayang ketika aku mula merayau-rayau melayari alam maya.

Tetiba jam 3 petang telefon bimbit aku berdering. Ada panggilan masuk. Kali ini suara Mat Saleh. Si Mat Saleh ini menerangkan bahawa Deen Nelson - wartawan London dari akhbar Daily Telegraph. Kah, kah, kah! Aku ketawa. Ketawa hampir termuntah. Bagaimana pula wartawan akhbar ini menghubungi aku?

Panggilan akhbar kanan

Daily Telegraph ini adalah akhbar kanan berbanding dengan The Guardian - akhbar mazhab kiri yang menyokong Parti Buruh. Telegraph menyokong parti Konservatif. Ketika aku menjadi warga London, tidak sekali pun aku membeli akhbar ini.

Akhbar ini dan akhbar The Sun diharamkan memasuki rumah Hishamuddin Rais. Ini diketahui umum oleh kawan-kawan aku di London.

Si Nelson ini menerangkan bahawa dia dalam teksi, dalam perjalanan pulang dari Seremban ke Kuala Lumpur setelah bertemu bual dengan Irene Fernandez.

Irene menjadi sasaran pertama kerana dikenali sebagai pejuang yang menentang ‘perhambaan' dan menentang penindasan terhadap buruh pendatang. Deen datang ke Malaysia kerana ingin mencari siapa perempuan Malaysia yang dikatakan ‘hamba' di London.

Darah aku menyirap. Aku terperanjat. Hampir aku tidak percaya akan isi perbualan telefon ini. Di gagang telefon aku nyatakan nama perempuan Malaysia yang ‘diperhambakan' di kota London. Si Deen pula terperanjat dan tidak percaya kerana mustahil aku dapat tahu, walhal semua media dunia sedang tercari-cari. Malah polis kota London tidak membocorkan nama sesiapa pun.

Di akhir perbualan telefon, Deen dan aku membuat temu janji. Deen membuat satu permintaan. Dia mahu merasa masakan Melayu yang terbaik. Aku berjanji akan cuba mencari restoran tersebut.

Aku juga menjemput Adam Adli dan Sidiqin Omar untuk bersama ketika aku bertemu wartawan ini. Aku lakukan ini kerana aku tidak mahu mengulangi kisah yang akan aku hamburkan ini berkali-kali.

Aku tahu setelah aku buka kisah ini pasti aku akan ditanya tidak putus-putus. Sahih. Inilah yang aku hadapi sekarang.

Cari punya tempat makan, aku memilih sebuah restoran di Jalan Panggung kerana dua perkara. Pertama, setiap petang Ahad aku berada di Jalan Panggung bersama kumpulan anak muda dari Dapur Jalanan yang membuat kerja amal memberi makan percuma kepada warga kota tanpa rumah.

Wartawan penyiasat

Kedua aku tahu ada restoran Baba Nyonya di sana yang masakannya ‘boleh pakai'.

Sebelum jam 10 malam kami telah berada dalam restoran. Deen berkisah bagaimana Irene dan dia cuba-cuba memikirkan apakah ada ‘kemungkinanan' warga Malaysia menjadi buruh dan seterusnya menjadi hamba dalam tahun-tahun 60-an. Mengikut pandangan Irene, mustahil Malaysia negara kaya akan ada yang mencari kerja di London.

Lalu ‘kisah buruh paksa' ini dimatikan. Akhirnya Deen bertanya siapa lagi warga Malaysia yang ‘radikal' yang tinggal dalam kota London. Bingo, nama aku muncul! Justeru panggilan telefon jam 3 petang. Justeru pertemuan makan malam.

Sebelum masuk kuliah sejarah kami berempat bersuai kenal. Deen berpejabat di New Dehli. Dia sampai ke Kuala Lumpur hari Jumaat dengan arahan ketua pengarang:

"Find the woman." (cari siapa wanita Malaysia ini.)

Sebelum bertemu Irene, Deen telah berjumpa pak menteri luar negara. Semua tak tahu siapa ‘perempuan ‘ini. Semua berkata mereka juga ingin mengetahui perkara sama.

Paling menarik ialah kisah Deen, dia juga dari mazhab kiri. Dia juga aktif ketika anak mahasiswa. Pernah bekerja dengan Observer, akhbar mingguan untuk harian Guardian. (Beliau) pernah membocorkan beberapa kes ‘tipu' dalam kesatuan sekerja.

Justeru Deen dianggap seorang ‘wartawan penyiasat' yang berpengalaman. Aku ingin mengetahui sosok yang sedang makan rendang daging di hadapan aku. Aku mencuri-curi bertanya tentang Edward Snowden. Jawapan Deen meyakinkan aku bahawa walau pun bekerja di akhbar kanan, otak kirinya masih cergas.

Rayuan Deen

Deen yang memiliki sejarah kiri tidak banyak masalah untuk memahami apa yang aku surahkan. Malah dia sendiri mengetahui tentang kewujudan pelbagai bentuk kumpulan Marxis dan kumpulan kiri dalam kota London.

Ada garis Trotsky dengan pelbagai tendensi, malah Deen pernah menjadi ahli salah satu kumpulan ini. Ada garis parti Komunis dan ada garis Mao. Malah Deen sendiri masih menggunakan marxisme untuk bertukang memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata.

Akhirnya, aku selesa dengan Deen. Lalu aku timbulkan nama Siti Aishah. Lalu aku timbulkan nama Chairman Ara. Lalu aku timbulkan nama New Malayan Youth. Lalu aku timbulkan nama Mass Movement.

Dalam otak aku masih ada beberapa nama yang tidak aku munculkan walau pun aku tahu sosok-sosok ini berada dalam kancah kiri ketika mereka menjadi anak mahasiswa di United Kingdom.

Kemudian aku nyatakan juga di mana kampung Siti Aishah. Kemudian aku nyatakan juga bagaimana pada tahun 1991 ketika aku menjadi warga kota London, abang Aishah pernah meminta pertolongan untuk mencari adiknya. Deen mengambil nota dalam tulisan ringkas.

Aku menerangkan bahawa Aishah ini berasal dari Jelebu dan aku tahu di mana rumah keluarganya. Dengan serta-merta Deen meminta aku pergi ke Jelebu, esok pagi Isnin.

Aku menolak kerana setiap Isnin aku tidak mahu diganggu kerana ini ialah hari dan masanya aku menulis untuk Suara Keadilan. Deen merayu. Dia memahami dateline aku. Lalu dia meminta sokongan dari Adam Adli agar aku bersetuju untuk ke Jelebu.

Aku membuat panggilan kepada kawan lama yang berasal dari Jelebu. Aku mencari kesahihan orang yang ingin aku temui di Jelebu. Nama yang aku cari wujud.

Beban sejarah politik kiri

Deen berharap sangat aku dapat membantu. Aku dapat merasakan ‘daruratnya' keadaan. Lalu kami berjanji esok jam 11 pagi kami ke Jelebu.

Sesudah makan malam Adam Adli, Sidiqin Omar dan aku bertandang ke kedai kopi biasa kami di Brickfields. Kedua anak muda ini terperanjat. Kerana mereka telah mendengar banyak kisah-kisah aku dari pelbagai sudut. Yang mengenai Aishah di Brixton ini belum pernah mereka mendengar. Memang betul kisah ini tidak pernah aku bersurah.

Lalu aku bertanya kepada dua anak muda ini. Apakah aku perlu campur dalam hal mencari Aishah? Apakah aku perlu membantu Deen Nelson dari akhbar kanan Daily Telegraph?

Aku rasakan pandangan anak muda ini lebih objektif. Aku rasakan mereka yang tidak memiliki beban sejarah politik kiri, tentang era 60-an, tentang apa itu Marxisme atau apa itu Maoist akan memberi jawapan yang rasional. Betul, mereka memberi jawapan yang tepat tanpa teori politik kiri.

Menurut dua anak muda ini, pada tahun 1991 aku telah gagal mencari Aishah. Ketika itu aku tinggal di Brixton - wilayah di mana berita ‘hamba' ini menggemparkan dunia. Pada tahun 1991, abang Aishah memberitahu aku bahawa si Aishah ini juga tinggal di Brixton.

Kali ini pada tahun 2013, tugas yang belum selesai ini datang kembali. Sejarah berpusing-pusing akhirnya sampai kembali ke pinggan aku.

Anak muda ini memberi ingatan agar aku tidak mengundur. Esok pagi aku wajib bersama Deen Nelson pulang ke Jelebu.

Bahagian I: Mencari Aishah

ADS