Maksiat sebagai wacana politik

"Myth consists in overturning culture into nature or, at least, the social, the cultural, the ideological, the historical into the 'natural'" Roland Barthes dalam Image, Music, Text (1978)

Kata bukan sekadar komunikasi seperti kita memandang langit biru. Kata sering seumpama sepasang mata lelaki merenung seraut wajah perempuan (atau sebaliknya) boleh jadi tanpa niat tersirat tetapi sukar dinafikan, juga memendam hasrat.

Kata umumnya menyimpan muatan nilai dan di sini kepentingan politik tidak terhindar. Kata-kata 'sesat' dalam tradisi Kristian, 'PKI' (dalam sejarah Indonesia) atau 'ahli sihir' (sejarah Eropah) pernah bermakna 'menghalalkan darah' jutaan manusia.

Walau analisa wacana, discourse analysis, sejenis alat ilmiah dan intelektual menarik yang boleh digunakan untuk membedah kepentingan politik di sebalik kata-kata berbau agama, tetapi kita jarang mendengarnya. Entah kerana kita jahil, bersetuju atau takut, istilah-istilah agama sering kita terima seadanya, seolah-olah kata-kata itu berkecuali, jujur dan benar.

'Wacana', kata Sanskrit yang diterima masuk dalam kosa kata Melayu, pada asalnya merujuk kepada berdoa yang serius dalam upacara Hindu. Ia sering bertukar ganti dengan maksud perkataan Inggeris discourse. Jika dilihat kamus bahasa Inggeris dan Melayu, makna dua kata ini saling bertindih. Ia meliputi erti-erti 'komunikasi, cara berkomunikasi (bertutur, berbahasa), gagasan atau hasil idea (misalnya buku, berita atau cerita)'.

Sementara kata Inggeris ini pula dipinjam daripada Latin, discursus yang bermaksud 'dari' atau 'arah berbeza' (dis) dan 'lari' (currere). Bahasa, melaluinya wacana bergabung dan berkembang, mempunyai tiga fungsi: membentuk, mempertahankan dan memperjelaskan hubungan di antara anggota
masyarakat (ideational), komunikasi antara perorangan (interpersonal) dan juga sebagai kerangka atau penyusunan wacana yang relevan dengan situasi (textual).

Kata 'maksiat', seperti serangkaian kata lain yang bersalut agama, dipinjam dari kata dan konsepsi bahasa Arab yang bermakna 'melanggar ketentuan' (akarnya 'asa'a) atau pada sisi fekah, 'enggan tunduk kepada perintah agama'. Jika disebut "Muslim yang 'asi", itu bermakna seseorang Islam yang derhaka atau enggan mentaati perintah agama. Dalam bahasa Melayu, ia dikembangkan menjadi 'kemaksiatan' dan 'bermaksiat' (jarang digunakan).

'Maksiat' dan kata 'dosa' ibarat dua muka pada sekeping wang syiling. Satu lagi sisinya, 'neraka' dan dalam wacana lebih lanjut 'bala'. Kata-kata ini sebenarnya satu pakej lengkap yang sudah terlalu jauh menyerap di dalam benak kita dan menjadi sebati. Oleh itu, walau kita mendengar hanya satu kata, misalnya 'maksiat', tetapi di sebaliknya bersarang beberapa kata atau konsepsi lain.

Tafsiran simbolik

Di satu sisi, kata 'maksiat' membawa konsep agama yang ringkas sahaja. Dalam kajian semiotika, menurut tingkat-tingkat pemaknaan Roland Barthes, maksud 'maksiat' seperti dihuraikan di perenggan atas disebut 'makna denotatif' atau makna selapis sesuatu tanda (sign). Makna di peringkat ini bersifat lazim, harfiah atau sekadar takrifan (walau takrif ini sejenis konsepsi agama, bukan hanya makna asal kata di sisi akar bahasa).

Di tingkat kedua, bagi Barthes, wujud satu lagi proses mencipta makna yang lebih mendalam. Ia disebut 'makna konotatif'. Sesuatu tanda diberikan tafsiran 'simbolik' yang lebih luas daripada makna selapisnya. Kesan makna konotatif boleh dilihat pada penggunaan kata-kata 'duit kopi' dengan 'rasuah'.

Tafsiran konotatif tergantung pada budaya penafsir; ia terikat dalam konteks budaya, culture-specific. Makna lapis kedua ini merupakan hubungan tanda dengan sosio-budaya setempat dan pengalaman penafsir.

"[A symbol] is a mediator between the synchrony of the text and the culture's memory. Its role is that of a semiotic condenser," jelas Yuri M Lotman dalam Universe of the mind: A semiotic theory of culture.

'Maksiat', di lapisan kedua, terkait dimensi politik. Ia dijadikan alat serangan kepada kelompok-kelompok tertentu, termasuk pihak berwajib. Misalnya konsert 'Sure Heboh' tajaan TV3 sebagai satu pakej diserang dengan tuduhan 'maksiat' dan oleh itu, kata mufti, hukumnya 'haram'. Kata 'maksiat' seperti 'kafir', 'negara Islam', 'taghut' atau 'hudud' yang dilontarkan kepada pihak berkuasa, bertujuan untuk menghakis atau melupuskan legitimasi politik pemerintah (jika tidak menganut nilai yang sama).

Ia bertujuan mencipta konflik nilai dalam masyarakat dan kerenggangan antara kelompok-kelompok penganut dua nilai. Semua kata, sayangnya, memang tersirat unsur-unsur diskriminasi dan generalisasi (pengkategorian).

Orang yang bersetuju dan menyokong makna lapisan pertama 'maksiat' (rumusan konsep agama), mudah terkena tempias wacana di lapisan kedua. Tetapi ia tidak membawa kesan mendalam kepada mereka yang mengabaikan atau tidak faham makna denotatif kata itu. Seperti masyarakat bukan Islam, 'maksiat' yang difahami dalam wacana Islam tidak mempunyai sebarang erti langsung kepada mereka.

Rangkulan hegemoni

Tidak cukup dengan itu, sebagai alat serangan yang menceraikan nilai-nilai manusia, kata 'maksiat' juga membawa dua kesan atau tujuan sekaligus: penggabungan dengan pengemuka wacana dan kawalan subjek (sasaran) dalam rangkulan hegemoninya. Dengan kata lain, pelempar wacana bertujuan meraih sokongan politik daripada sejumlah orang ramai dan menekan sejumlah yang lain untuk tunduk.

Legitimasi kerajaan semakin terhakis atau lupus apabila ia dilihat mendukung nilai bertentangan atau tidak sungguh-sungguh membasmi nilai yang dibawa pengemuka wacana. Di tahap yang lebih serius, ia bertujuan mencipta krisis nilai dalam masyarakat sehingga kepungan wacana itu telah berjaya mencipta kecemasan sosial yang parah.

Misalnya, kita lihat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun mutakhir, berbondong-bondong ibu bapa (walau mereka sendiri tidak menghayati nilai agama dengan serius) mengirim anak-anak ke tadika dan sekolah Islam (swasta khususnya) apabila kerajaan dilihat tidak lagi mampu menyelamatkan generasi muda kita daripada gejala 'keruntuhan akhlak' satu lagi kata serangan yang sama kuatnya dengan 'maksiat'.

Atas permintaan popular dari masyarakat, kerajaan pula mendirikan lebih banyak sekolah atau projek keislaman, termasuk cadangan mendirikan 'pusat pemulihan akidah'. Industri agama turut berkembang, termasuk di kalangan kelas menengah Kuala Lumpur, tidak jauh bezanya program Aa Gym di Jakarta sekarang disifatkan gejala 'sufisme perkotaan' oleh seorang pengamat terkenal, Komaruddin Hidayat.

'Maksiat' bukan lagi kata agama tetapi sejenis anak ideologi dalam wacana politik. Boleh sahaja disebut 'maksiat-isme', seperti golongan pengkhutbah moral di negara kita melontar serangan kata 'tidak bermoral' yang tersirat di sebaliknya ideologi 'moralisme'. Barrington Moore, pengarang Injustice: The social bases of obedience and revolt, mungkin sekali termenung dan putus asa dengan makna 'moral' yang dipakai di negara kita!

Kita akan lebih jelas bagaimana dua cabang ideologi ini berkembang sekiranya kita dapat mengesan (a) bagaimana wacana 'moral' atau 'maksiat' dipakejkan dalam kelompok tertentu, dan (b) konteks masyarakat dan hubungan kekuasaan yang berinteraksi dengan pakej wacana itu. Ideologi 'moralisme' banyak waktunya tidak mempunyai falsafah moraliti mendalam, philosophy of morality, dan malah butiran-butiran nilainya kemungkinan besar berkecamuk jika ditinjau lebih mendalam.

Kita boleh kesan penggunaan anak ideologi ini pada sebilangan sasterawan kita, misalnya kata 'moral' di ruangan seni budaya akhbar Berita Minggu dan wacana-wacana sastera di Rumah PENA. Kata 'moral' digunakan oleh beberapa tokoh sasterawan kita sewaktu menyerang Shahnon Ahmad ketika muncul polemik novel satiranya Shit pada 1999. Kata 'moral' (dari bahasa Inggeris) telah disempitkan maknanya dan dibingkai untuk merujuk hal-hal yang bersifat mengawal segolongan anggota masyarakat (tidak jauh konotasi 'maksiat' yang difahami dalam alam fikir Melayu).

Penyempitan makna

Jadi, golongan sasterawan ini menggunakan kata 'moral' dalam ideologi moralisme sebagai memanjangkan legitimasi kuasa negara yang mengekang kerana kedekatan dan kebergantungan sastera pada kuasa itu. Maka, isu-isu ketidakadilan sosial atau keburukan gelagat para menteri tidak dimasukkan dalam pengkategorian atau pengembangan wacana di sebalik kata 'moral'. Malah, keburukan atau ketidakadilan tersebut (bagi Moore, harus mencetuskan moral outrage atau 'keberangan moral' sukar pula mendapat tempat sebagai tema sastera.

Rasuah, keberanian bercakap benar atau menentang penindasan tidak dihitung dalam wacana 'moral' golongan ini. Menentang penindasan atau keberanian bercakap benar tidak diperhitungkan sebagai nilai moral yang tinggi, perlu dipupuk dan diperjuangkan. Takrifan dan cakupan moraliti seluas perspektif ini akan merumitkan kepentingan mereka dengan kekuasaan negara.

Penyempitan makna seumpama ini juga terjadi dalam kata 'maksiat'. Perhatikan kata ini pada ungkapan 'pegawai pencegah maksiat' maksudnya fokus dan bidang kawalan jabatan ini. Di beberapa negara bukan Islam juga ada kata seumpama ini, anti-vice squad sebagai satu jabatan dalam kepolisan. 'Vice' di sini tentulah tidak sama dengan konsepsi 'maksiat' dalam faham agama.

Walau PAS dan pengkritik kerajaan (kelompok agama) tidak bersetuju dengan konotasi 'maksiat' yang dibawa oleh kerajaan Umno sekarang tetapi mereka (PAS) akan bersetuju dengan tindakan-tindakan jabatan anti-maksiat ini. Selain itu, PAS juga tidak melihat rasuah, kronisme, memungkiri janji politik atau penebangan balak (di negerinya) sebagai 'maksiat'. Tetapi tidak berjilbab itu sejenis 'maksiat' dan mendorong jenayah seksual.

Jika moralisme sasterawan kita bertujuan menjinakkan diri dengan kuasa, kata 'maksiat' pula dijadikan wacana perlawanan terhadap negara kerana kuasa memerlukan legitimasi (authority) moral tertentu, termasuk nilai agama, dalam hubungannya dengan masyarakat. Namun, ada waktunya maksiatisme dan moralisme boleh bercantum dan diguna pakai bertukar berganti, khususnya di kalangan para pengikut yang tidak menduga ada kepentingan politik bersama dua kata tersebut.

Selain untuk menyerang Umno, ideologi 'maksiatisme' ini digunakan oleh PAS (dan juga negara) untuk menyerang anak-anak muda yang sering ke disko atau berdua-duaan, misalnya. Kata 'maksiat' menjadi wilayah perebutan antara PAS dan Umno untuk menunjukkan siapakah yang lebih saleh atau kurang kemaksiatannya. Ideologi inilah yang digunakan pakai dan tersebar meluas wacananya baru-baru ini, dan beberapa kes sebelumnya, apabila pegawai pencegah maksiat menyerbu disko.

Golongan agamawan, walau tidak senang dengan Umno, mendukung tindakan jabatan agama ini sehingga kita boleh lihat sekeping foto berkenaan di lamanweb Astora Jabat. Sasaran mereka memang golongan yang lemah, individu tanpa kuasa dan sasaran mudah kawalan sosial.

Kemungkaran ekonomi

Tetapi ahli-ahli politik yang berkuasa, baik PAS atau Umno, tidak pula dianggap memerlukan kawalan sosial atau politik daripada masyarakat. Menghalang kritik atau menyingkirkan perbezaan idea bukan sebahagian 'maksiat' politik mereka; malah ia dianggap absah (legitimate) kerana, kononnya, agama tidak pernah sama sekali merumuskan hal-hal sedemikian.

Dari satu sisi yang lain, menarik juga jika kita masih ingat bagaimana Tengku Razaleigh Hamzah dan Parti Semangat 46 (sekitar 1990-an awal) menyerang Umno (lebih tepat, kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad) dengan ungkapan 'kemungkaran ekonomi' kata dan konsepsi agama, asalnya kata Arab 'munkar', dirumuskan sebagai istilah ekonomi dalam percaturan politik.

Selain tujuan politik, ideologi 'maksiatisme' juga digunakan untuk kritik atau cemuhan sesama anggota masyarakat. Di Indonesia, khususnya selepas tekanan pemerintah berkurangan sejak 1998, cukup popular kata 'konflik horizontal' (maksudnya, sesama anggota masyarakat) berbanding 'konflik vertikal' (antara pemerintah dengan rakyat).

Di garis horizontal masyarakat kita, ideologi 'maksiatisme' ditujukan khas kepada pelanggaran nilai atau amalan agama peribadi. Tetapi membiarkan jiran tetangga lapar, mengabaikan fakir miskin dan anak yatim, atau takut mengkritik kejahatan pemerintah tidak pernah dirumus sebagai sebahagian 'maksiat' yang wajib dihindari.

Bagi saya, semuanya ini boleh disebut 'maksiat sosial' kerana pengabaian tugas-tugas kemasyarakatan yang dituntut agama. Ideologi 'maksiatisme' hanya nampak dimensi peribadi ('maksiat individu') tetapi memejam mata terhadap ikatan sosial yang jatuh ke atas bahu bersama sekali lagi, proses penyempitan makna berlaku.

Oleh kerana kata 'maksiat' sarat muatan nilai agamanya (sementara agama pula diangkat sebagai kebenaran tunggal lagi mutlak), maka penganut-penganut agama tidak lagi mempertikaikan proses pemaknaan ini. Lama-kelamaan, mereka tidak sedar asal-usul pemakaian katanya. Agama, atau tradisinya, tidak pernah dianggap sebagai produk budaya yang interaktif lagi relatif.

Kata dan konsep berbau agama seolah-olah muncul secara alamiah, sejak azali memang sudah begitu tersirat dalam DNA kita! 'Maksiat' semata-mata rumus agama yang suci, bukannya produk budaya dan bukan permainan ideologi. Proses ini, bagi Barthes, disebut kesemulajadian (naturalization). Di tingkat kedua proses pemaknaan, kata 'maksiat' dipengaruhi mitos atau ideologi.

"Mitos itu melibatkan proses menukar budaya menjadi (kesan) semula jadi, atau setidak-tidaknya menjadikan hal-hal berkaitan sosial, budaya, ideologi dan sejarah diterima sebagai sesuatu yang 'semula jadi'," tulis tokoh semiotika Perancis ini dalam Image, Music, Text (untuk analisa mendalam, lihat bukunya Mythologies).

Sebab inilah, kita tidak hairan apabila penganut-penganut agama tidak gemar menyemak rumusan-rumusan kata dan penggunaan wacananya, khususnya yang dilontarkan oleh ketua-ketua mereka atau ulama. Malah, jika mendengar analisa yang berbeza, mereka tergesa-gesa meradang. Agama kuat sekali kesan biusnya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.