Pemuda PAS Kelantan hari ini menyatakan ‘sokongan penuh’ terhadap kenyataan Syeikh Wazir Che Awang al-Makki selepas ulama terkenal asal negeri itu menegaskan bahawa haram untuk mana-mana pihak menjatuhkan kerajaan yang adil.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi, berkata mereka bersependapat dengan penyokong kerajaan pusat khususnya dalam kalangan anggota PH untuk menyambut baik kenyataan ulama tersebut.

Katanya dalam isu tersebut Pemuda PAS Kelantan dan penyokong PH bersepakat untuk menghormati ulama pondok dan mereka diberikan  tempat dalam menentukan hala tuju masyarakat.

Pun begitu, menurut Mohd Firdaus, sokongan berkenaan tidak boleh terhenti kepada tepukan dan pujian terhadap kenyataan dibuat Syeikh Wazir, sebaliknya perlu “dibuktikan dengan tindakan.”

“Justeru, dalam konteks politik Kelantan, Pemuda PAS Kelantan ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, agar PH tidak meletakkan sebarang calon untuk menentang parti yang membentuk kerajaan Kelantan dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Firdaus, jika benar Anwar dan PH mengambil serius saranan Syeikh Wazir, sekarang adalah masanya untuk menterjemahkan penghormatan tersebut melalui tindakan politik yang nyata.

“Berikan ruang kepada kerajaan negeri untuk terus mentadbir tanpa dicabar oleh calon daripada PH.

“Di sinilah keikhlasan PMX (Anwar) dan seluruh kepimpinan PH dalam menghormati suara ulama pondok dapat dinilai,” katanya lagi.

Kelmarin Syeikh Wazir dipetik media sebagai berkata, usaha menjatuhkan kerajaan yang memerintah secara adil adalah haram hukumnya mengikut Islam.

Anwar bersalaman dengan Syeikh Wazir sempena program Sebarkan Salam @ Kota Bharu, kelmarin.

Berucap di hadapan Anwar dan kepimpinan kerajaan Kelantan di Kota Bharu, ulama terbabit malah berkata pihak yang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang adil adalah bersifat Khawarij – merujuk kepada golongan yang berpegang pada fahaman ekstrem, termasuk mudah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana berbeza pendirian.

Penasihat Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan itu berucap sempena program Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

Mohd Firdaus berkata, kenyataan Syeikh Wazir membawa mesej besar yang wajar direnungkan semua pihak, khususnya dalam memahami kedudukan ulama dan institusi pondok dalam kehidupan masyarakat Kelantan.

Dalam konteks politik negeri itu, Mohd Firdaus juga mengingatkan agar nasihat Sheikh Wazir dan keberadaan institusi pondok tidak dijadikan alat untuk meraih modal politik hanya ketika suara mereka menguntungkan, tetapi diketepikan apabila kepentingan politik menuntut perkara yang berbeza.

“Jangan jadikan ulama pondok sekadar kain basahan politik – digunakan ketika mandi, kemudian disangkut di belakang pintu tandas selepas selesai mengambil manfaat daripadanya.

“Itu bukan bentuk penghormatan yang sepatutnya diberikan kepada institusi pondok,” katanya.

Institusi pondok, tambah Mohd Firdaus, bukan institusi kecil yang boleh dipergunakan mengikut selera politik sebaliknya institusi ilmu, dakwah dan pembinaan ummah yang telah sekian lama dihormati oleh raja dan rakyat serta mendapat tempat dalam sejarah dan tradisi masyarakat Kelantan.