Harga emas global dijangka melonjak AS$6,000 menjelang akhir 2026
Harga emas tempatan dijangka kekal stabil atau meningkat sedikit berbanding paras semasa sehingga hujung tahun ini, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan perubahan struktur ekonomi global, kata seorang ahli akademik.
Profesor Emeritus Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pasaran dijangka akan mendapat petunjuk lebih jelas mengenai harga logam berharga itu selepas penghujung 2026.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Fokus 15 terbitan Bernama TV bertajuk ‘Harga Emas Turun: Peluang atau Risiko?
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/07/64fe10e3fa0ee97633063f54bf3d608f.jpg)
Pada Jumaat lepas, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah, menjejaki prestasi lebih lemah di Bursa Komoditi New York (COMEX).
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 susut kepada AS$3,981.1 setiap auns troy daripada AS$4,024.9 setiap auns troy pada Khamis, manakala November 2026 susut kepada AS$4,003.0 setiap auns troy daripada AS$4,040.5 setiap auns troy sebelum ini.
Barjoyai berkata harga emas global berpotensi mencecah AS$6,000 setiap auns troy menjelang akhir 2026, manakala bagi penghujung tahun 2027 pula dianggarkan mencapai harga AS$6,300, merujuk kepada laporan JP Morgan, syarikat perkhidmatan kewangan global.
Bagaimanapun, beliau berkata harga spot emas dijangka kekal sekitar AS$4,000 setiap auns troy dan berpotensi turun kepada AS$3,950 sekiranya tekanan jualan berterusan, sebelum pulih dalam jangka sederhana pada julat AS$4,100 hingga AS$4,200 setiap auns troy.
“Dalam jangka pendek, emas boleh berperanan sebagai instrumen untuk menstabilkan nilai pelaburan dan mengurangkan risiko susut nilai ringgit, namun tidak menawarkan prospek keuntungan segera kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata penurunan harga emas ketika ini mungkin menarik minat sesetengah pelabur untuk membeli atau menambah pegangan emas, bagaimanapun keputusan itu perlu mengambil kira prospek pergerakan harga dalam jangka pendek dan panjang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/7078556aadc6a8718ead7e5ed921b2d8.jpg)
“Pelaburan emas tidak memberikan pulangan secara langsung dan keuntungan hanya boleh diperoleh apabila harga emas meningkat sebelum pelabur menjual semula pegangan mereka.
“Persoalannya, adakah harga emas akan meningkat dalam jangka pendek? Jika tidak, pelabur mungkin terpaksa menunggu lebih lama sekiranya harga kekal stabil atau tidak menunjukkan peningkatan.
“Emas mempunyai kitaran harga tersendiri, lazimnya lebih panjang, iaitu antara 20 hingga 30 tahun, justeru pelabur perlu mengambil kira trend jangka panjang dalam membuat keputusan pelaburan,” katanya.
Menurut Barjoyai, walaupun pelabur tidak memperoleh keuntungan dalam jangka pendek, masih terdapat potensi keuntungan dalam jangka panjang sekiranya mereka terus memegang emas.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/4523423423423_570940.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.