Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 20 Julai 2016 yang lalu satu dunia telah heboh. Semua akhbar dunia buat laporan. Semua TV dalam dunia ada berita ada tentang sidang akhbar Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch. Hanya di Korea Utara, Malaysia dan Johor berita ini tidak ada laporan media dan liputan TV.

Ini sidang akhbar bersejarah. Orang Putih kata unprecedented. Orang Melayu kata tak pernah terjadi. Ini sidang akhbar nak rampas harta Riza Aziz AKA anak Rosmah dan Jho Low AKA tembam. Peguam negara Amerika nak rampas harta anak Rosmah dan tembam yang berjumlah satu bilion dolar. Ini kiraan awal. Mungkin jika semua terkumpul jumlah boleh menjadi tiga bilion dolar.

Tapi gua sudah buat silap. Gua silap besar. Dalam tulisan gua yang lalu gua kata Puan Loretta Lynch telah diapit oleh tiga pegawai. Ini tidak tepat. Ini tidak betul. Ini satu kesilapan besar.

Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch telah diapit oleh empat sosok, bukan tiga. Aduh, silap besar kerana gua tulis tiga pengapit. Empat sosok ini bukan 'kecil anak'. Bukan pegawai kerajaan. Mereka ini tiang negara Amerika.

Biar gua tulis siapa ada di sidang akhbar itu. Bersama peguam negara Amerika ialah: Timbalan Peguam Negara Puan Leslie Caught Weld yang juga pendakwa raya California; Encik Richard Weber, kepala Siasatan Jenayah Kastam/Perbendaharan; Puan Eileen Decker, Pendakwa Raya California dan Encik Andrew Mccabe.

Gua nak royak kesemua empat sosok ini memang gedebe besar dalam pentadbiran kerajaan Amerika. Dari empat sosok ini ada seorang lagi yang lebih besar dari besar. Lagi godang dari rumah godang. Sosok ini bernama Andrew Mccabe.

Siapa Encik Andrew Mccabe ini?

Andrew Mccabe ini ialah orang kedua dalam FBI - timbalan pengarah FBI. Sosok ini pun bukan 'kecil anak'. Ini membuktikan kes anak Rosmah dan tembam di Amerika ini bukan kes rompak seluar dalam. Bukan kes seludup dadah. Bukan kes pecah rumah. Bukan kes curi kasut di masjid. Ini kes sejarah yang paling besar dalam alam semesta ini. Tak pernah kes seperti ini berlaku dalam dunia.

Apa yang tak pernah berlaku?

Pertama, tak pernah berlaku jumlah harta yang akan dirampas sebanyak itu. Harta Pablo Escobar – samseng dadah dari Colombia – pun tidak sampai satu bilion dolar. Kedua, Tak pernah berlaku peguam negara diapit oleh timbalan FBI dalam satu sidang akhbar. Ini unprecedented. Justeru sidang akhbar pada 20 Julai 2016 adalah sejarah dunia.

Apa dia FBI ini? FBI ialah Federal Bureau of Investigation - penyiasat persekutuan Amerika. Badan ini boleh menyiasat semua kes besar di Amerika. Kuasa FBI melintasi sempadan 50 buah negeri Amerika. Malah FBI boleh juga menyiasat di seluruh dunia jika kes yang disiasat berkait dengan kepentingan Amerika.

Berbanggalah kamu wahai bani ketuanan Melayu kerana kamu telah berjaya mencatat sejarah. Sejarah bukan hanya tercatat di Amerika tetapi menjadi sejarah dunia.

Bila gua dengar nama FBI datang menyiasat gua jadi kecut 'mecut'. Kalau gua anak Rosmah, kalau gua si tembam, gua akan makan ubi gadung, gua akan telan 200 gram cendawan tahi lembu, gua makan satu genggam pucuk kecubung dan gua kunyah 10 butir buah perah mentah.

Untuk melicinkan tekak, gua akan minum satu liter air ketum dari Bendang Raja, Kedah. Jika tercekik dan hendak menyedapkan selera gua basuh dengan air champagne Dom Perignon.

Inilah jalan terbaik untuk dua ekor yang sedang dicari oleh FBI. Pada hemat gua lebih baik mereka berehat dari dunia ini dari terus berhadapan dengan FBI yang tidak diketahui bila ejen-ejen FBI akan menerkam. Lebih baik terus tidur rehat dari terus dalam ketakutan tak tahu bila FBI akan menyerkup.

Yakinlah cakap gua, segala peguam jenis Shafie, segala bentuk duit rasuah, segala macam hadiah beg Birkin kulit buaya, segala emas dan cincin berlian dalam dunia ini tidak akan berjaya lagi melepaskan anak Rosmah dan si tembam ini daripada FBI.

Kendati Rosmah menghadiahkan seekor buaya jantan berkulit lembut dari Afrika untuk dijadikan beg kepada Encik Andrew, kes 1MDB ini tetap akan berjalan. Amin.

Teliti sekali lagi siapa yang berada dalam sidang akhbar itu. Timbalan peguam negara yang juga pendakwa raya California. Ini bermakna kes ini sedang berjalan di California. Kerana rumah anak Rosmah dan harta si tembam berada di California. Juga kerana syarikat filem Red Granite Pictures milik anak Rosmah berdaftar di California.

Pengarah siasatan jenayah juga bersama. Jenayah? Sahih, pengarah siasatan jenayah ada bersama. Ini lagi gempar. Apabila pengarah siasatan jenayah ada bersama di sidang akhbar, ini membuktikan dengan jelas akhirnya anak Rosmah dan si tembam ini akan didakwa dalam kes jenayah.

Jenayah apa yang mereka lakukan?

Biar gua terangkan apa sebenarnya kes 1MDB yang sedang terbarai di Amerika. Penerangan dan pencerahan ini gua tujukan khusus untuk bani ketuanan Melayu yang sedang melompat, menangis, meraung dan menjerit mengatakan bahawa kes 1MDB ini bukan kes jenayah tapi kes sivil.

Malah peguam negara Malaysia telah mengumumkan bahawa tidak ada apa-apa salah laku dalam 1MDB. Ini NCA - no case to answer.

Mengikut logik bani ketuanan Melayu mustahil seorang Tan Seri Peguam Negara bercakap bohong. Lagi pun Tan seri ini telah naik haji. Naik hajah pun telah masuk kali kedua. Juga si Tan Sri telah berumrah lebih lima kali. Sosok sebegini lebih bersih dan lebih putih daripada kain cucian sabun Fab. Khalas.

Memang sahih lagi tepat buat filem dan memiliki syarikat buat filem bukan satu jenayah. Beli kondo memang bukan jenayah. Beli hotel untuk pelaburan memang bukan jenayah. Beli lukisan Van Goh atau Monet juga bukan satu jenayah. Beli gambar bogel pun bukan jenayah. Beli kapal terbang jet peribadi juga bukan satu jenayah. Berpoya dan enjoy sambil berbogel dengan Paris Hilton mustahil satu jenayah.

Justeru yang mana jenayah? Dan apa dia jenayah anak Rosmah dan si tembam di Amerika? Apa sangkut paut Amerika dengan 1MDB?

Ha, ha, ha. Mari sini gua nak royak. Kes harta anak Rosmah dan si tembam menjadi kes jenayah kerana semua duit yang membeli harta dan pelaburan itu adalah duit “curi”.

Membeli rumah di Country Height Kajang atau di Mesir atau di Abu Dhabi atau di Qatar atau di Saudi bukan satu kesalahan. Memiliki duit curi atau duit dadah atau duit rasuah bukan satu jenayah dalam negara-negara ini. Malah duit sedemikian mungkin dianggap rezeki.

Tetapi dalam negara kafir seperti Amerika, duit curi dan duit rasuah yang digunakan untuk membeli harta dianggap jenayah. Di Amerika ada undang-undang melawan perkara ini. Curi duit kerajaan dan rasuah ini dipanggil kleptokrasi.

Apa dia kleptokrasi ini?

Kleptokcracy ini bahasa Greek yang memberi makna kerajaan yang dikepalai oleh pencuri dan perasuah. Pada bulan Ogos 2006, Jabatan Negara Amerika ada memberi penjelasan apakah makna undang- undang yang baru diluluskan ini. Hakikatnya undang-undang ini melawan dan menumpaskan kerajaan yang dipimpin atau dikepalai oleh perasuah atau pencuri.

Kalau tak yakin apa yang gua tulis, sila baca dari laman jabatan ini. Semua diterangkan dengan jelas seperti cahaya matahari jam 12 tengah hari.

Dengan kata yang senang kleptokrasi ini ialah kerajaan penyamun, kerajaan kaki rembat atau kerajaan kaki songlap. Mengikut undang-undang Amerika, kerajaan yang mengamalkan kleptokrasi wajib dilawan, wajib ditumpaskan, wajib dihapuskan. Ini kerana negara yang mengamalkan kleptokrasi menjadikan warga negara itu terseksa. Suasana ini membahayakan dunia.

Undang-undang Amerika ini pula boleh digunakan untuk seluruh dunia. Apakah masih ada lagi yang tidak faham?

Yang menjadikan kes 1MDB ini kes bersejarah dan menjadi kes berat ialah duit didakwa curi ini telah digunakan dalam Amerika. Duit curi ini dibawa masuk ke dalam bank Amerika.

Kalau tetiba Puan Loretta Lynch membuat sidang akhbar nak rampas harta Sultan Berunai atau harta Syarikat Balak Nik Abbaduh, maka ramai akan bersetuju untuk mentakrifkan bahawa kerajaan Amerika sudah gila. Tetapi dalam kes melibatkan anak Rosmah, si tembam dan 1MDB tidak ada sesiapa yang mengatakan Puan Loretta sasau.

Ops, silap. Gua silap lagi. Memang ada kumpulan dan individu malah Menteri yang telah berkata bahawa peguam Amerika ini sasau dan tersasar. Siapakah mereka ini?

Jangan ketawa dan jangan menangis. Mereka yang berkeras menuduh Loretta Lynch sasau dan tersasar terdiri dari kaum kerabat bani ketuanan Melayu. Rata-rata mereka ini penyokong tegar dasar ketuanan Melayu dan ahli parti United malays National Organisation.

Bani ketuanan Melayu dan suku sakatnya amat bebal untuk memahami kes 1MDB ini. Atau mereka sengaja membebalkan diri.

Pelik tetapi benar, bani Ketuanan Melayu bertempik marah kepada Puan Loretta Lynch. Mereka menuduh peguam negara ini campur tangan dengan hal dalaman Malaysia.

Ops, tertiba bani Ketuanan Melayu menjadi nasionalistik. Menjadi anti-Amerika. Gua hanya ada satu nak tanya bani ketuanan Melayu, kenapa Bani Ketuanan Melayu tidak menentang TPPA? Tunggu minggu depan gua jawab.

Lihat Komen
ADS