Syahir nasihat Ummi: Tak perlu sertai parti politik untuk sumbang pada negara
Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman hari ini menukilkan pesanan kepada siswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang mencetuskan perhatian ramai susulan mempersoalkan kutipan derma bagi membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
Ini selepas Ummi yang berusia 23 tahun menjelaskan dia tidak berhasrat menyertai politik buat masa ini.
“Pada hemat saya, sumbangan kepada negara tidak semestinya bermula dengan menyertai parti politik.
“Mahasiswa juga mampu membawa perubahan melalui kekuatan ilmu, penyelidikan, wacana dasar dan penglibatan dalam aktiviti masyarakat,” kata Syahir pada kenyataan hari ini.
/file/attachments/orphans/kpt-02_305606.jpg)
Pemimpin PAS itu turut memuji keberanian Ummi menyuarakan pandangan, meskipun ada pihak kurang bersetuju dengan ungkapan dan bahasa yang digunakannya.
“Nasihat saya kepada Saudari Ummi, berikan sepenuh perhatian kepada pelajaran, aktifkan diri dalam kegiatan kepimpinan dan persatuan, seterusnya bina kerjaya dalam bidang dasar awam dengan ilmu, latihan dan profesionalisme,” katanya.
Mengimbau pengalamannya sendiri, Syahir berkata dia pernah dipilih mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke sebuah persidangan anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada tahun akhir pengajiannya.
Katanya, persidangan itu memberinya peluang berdialog dengan bekas menteri Rafidah Aziz dan Mustapa Mohamed mengenai pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1998.
/file/attachments/orphans/UmmiUmairahBakhit12_333164.png)
Menurut Syahir, latar belakang Ummi dalam bidang ekonomi membuka ruang untuknya menyumbang kepada perubahan dasar negara, termasuk dalam soal keadilan sosial, pembangunan inklusif dan disiplin fiskal.
Majlis forum Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFuture 2026) menampilkan antaranya bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari itu.
Pada acara itu, Ummi membangkitkan isu skandal Lembaga Tabung Haji yang melibatkan beberapa tokoh politik, serta mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu Najib Razak membayar denda RM50 juta sekali gus membolehkan bekas perdana menteri itu menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.
Dia turut mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan boleh dididik supaya berani menentang rasuah dan feudalisme, berfikiran kritis serta mengemukakan fakta dan data statistik.
/file/attachments/orphans/image60_789030.jpeg)
Walaupun kemudian Ummi dihujani kritikan di media sosial namun dia tetap mempertahankan pendiriannya dan menegaskan dia tidak akan menarik balik kenyataan itu atau memohon maaf.
Sementara itu, Ummi ketika menjawab soalan pengacara podcast “Explain Sikit” terbitan KiniTV menjelaskan tindakannya menyoal pada majlis forum tersebut bukan untuk menjadi 'batu loncatan' ke arena politik kepartian.
Menurutnya, tidak menghairankan apabila mahasiswa UM yang lantang bersuara sepertinya dijangka terjun ke dunia politik.
“Saya rasa sebagai pelajar yang datang dari Universiti Malaya, mungkin orang akan jangka saya akan menyertai politik. Tetapi saya ada peluang untuk katakan ini bahawa saya tidak akan menyertai politik. Buat masa ini," katanya.
"Rancangan saya selepas ini ialah menyertai sektor korporat, dasar awam. Sejujurnya, saya tidak suka perhatian yang saya terima sekarang," kata Ummi lagi.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/SyahirSulaiman1_254832.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.