Kesabaran keluarga Noorizwan Zulkefly semakin menipis sehingga mereka mahu membawa tuntutan keadilan berhubung kematiannya dalam tahanan terus ke kediaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Esok (24 Okt), berbekalkan sepucuk surat, keluarga itu akan ke kediaman Anwar di Kajang untuk memohon campur tangannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya berkata langkah itu atas inisiatif keluarga sendiri.

Menurutnya, mereka semakin marah dan kecewa terhadap ketiadaan kemajuan siasatan serta belum ada tangkapan berhubung kematian Noorizwan.

Kekecewaan itu bertambah selepas keluarga berkenaan menerima surat polis yang tidak banyak memberikan penjelasan selain memaklumkan kes itu masih disiasat.

“Namun, kes itu masih belum diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, walaupun pakar patologi memaklumkan pegawai Bukit Aman, di hadapan kami, bahawa Noorizwan meninggal dunia akibat kecederaan trauma tumpul pada kepala.

“Pakar patologi turut menunjukkan gambar kecederaan mengerikan itu kepada semua yang hadir, termasuk pegawai berkenaan.

“Kekecewaan dan keresahan keluarga itu tentunya boleh difahami. Apabila tiada pihak lain memberikan jawapan, mereka beralih kepada perdana menteri, yang memikul tanggungjawab tertinggi,” katanya.

Latheefa berkata sebagai ketua badan eksekutif, Anwar mempunyai kuasa untuk memastikan siasatan penuh dan menyeluruh dijalankan, bebas daripada usaha menutup kebenaran serta gangguan yang tidak perlu, termasuk siasatan terhadap peguam keluarga berkenaan.

“Ini keluarga rakyat Malaysia biasa, bukan golongan elit di Putrajaya dan mereka berhak mendapat keadilan,” tambahnya.

Anwar pernah rasa keganasan polis

Rayuan keluarga itu membawa makna tersendiri memandangkan Anwar pernah menjadi mangsa keganasan polis selepas disingkirkan daripada kerajaan dan ditahan pada 1998.

Ketika berucap sempena Hari Suhakam ke-25 pada 9 September 2024, Anwar mengimbas pengalamannya dipukul hingga hampir separuh nyawa ketika dalam tahanan.

“Jadi kalau orang bicara ada kebimbangan tentang penderaan dan kematian dalam lokap tidak perlu yakinkan saya,” katanya.

Ketika itu, Anwar berkata polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menjalankan siasatan serta kajian mengenai kecederaan dan kematian membabitkan tahanan di lokap.

Dia turut menyatakan kesediaan menyertai lawatan Suhakam ke lokap polis dan mengakui isu berkenaan perlu segera ditangani.


BACA BERKAITAN:

'Siapa dengan abang saya ketika nazak?' - keluarga Noorizwan tuntut jawapan Bukit Aman

Hari ke-15, 21 kecederaan ngeri, polis akhirnya buka mulut: Kami sedang siasat

Peguam kes kematian Noorizwan disiasat: Ramkarpal kenang bapa didakwa saat bela Anwar

Ambiga marah polis siasat peguam kes Noorizwan


Namun, ketika keluarga Noorizwan menanti penjelasan, tiga peguam yang mewakili mereka, iaitu Latheefa, N Surendran dan Dina Zamri, turut disiasat polis.

Siasatan itu berhubung dakwaan mereka mendesak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menyerahkan gambar bedah siasat.

Menurut LFL, ketiga-tiganya disoal siasat lebih tiga jam berhubung lawatan bersama keluarga Noorizwan ke unit patologi hospital berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai bukti perubatan.

Siasatan itu mengundang kecaman keras, dengan bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan menyifatkannya sebagai “tahap terendah baru” bagi kerajaan.

Dia memberi amaran tindakan menyasarkan peguam yang mencari kebenaran hanya akan menebalkan lagi kecurigaan orang ramai berhubung kematian Noorizwan.

Ahli parlimen DAP Ramkarpal Singh turut mengecam siasatan itu yang, menurutnya, boleh menjadi satu bentuk intimidasi terhadap peguam yang menjalankan tugas profesional.

Keluarga persoal penjelasan polis

Pada 14 Okt, keluarga Noorizwan dan peguam mereka mendedahkan 21 kecederaan mengerikan yang dialaminya, termasuk pendarahan dalam otak dan usus serta kecederaan meluas dari kepala hingga kaki.

Bapa berusia 42 tahun itu meninggal dunia pada 1 Okt selepas ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Sehari selepas gambar kecederaannya didedahkan, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata penyiasat sedang menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan rasmi patologi sebelum melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun, Fadil turut merujuk rekod jenayah Noorizwan, dengan menyatakan si mati mempunyai 44 rekod, terdiri daripada 18 kes berkaitan dadah dan 26 kes jenayah lain.

Menurutnya, Noorizwan turut mengaku terlibat dalam 17 lagi kes pecah rumah dan kecurian di daerah Cheras.

Fadil menegaskan penahanan Noorizwan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut penjelasan polis, Noorizwan jatuh sakit ketika dalam tahanan sebelum dibawa ke HCTM untuk rawatan lanjut.

Latheefa kemudian membuat laporan polis terhadap Fadil pada 16 Okt. Dia mendakwa kenyataan ketua polis Kuala Lumpur itu sebagai tidak jujur dan cubaan mewajarkan kejadian berkenaan atas alasan Noorizwan mempunyai rekod jenayah.

[Baca berita asal]