Kelab Como 1907: Dari 'Langkah Djarum' ke sosok gergasi Itali menggugat Eropah
Kelab bola sepak Itali, Como 1907, mencuri perhatian dunia selepas membelasah Manchester United (MU) 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu lalu.
Kemenangan itu menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan kebangkitan kelab Como – yang pernah berdepan masalah kewangan serius sebelum diambil alih oleh Sent Entertainment Ltd (Sent), sebuah syarikat milik adik-beradik Hartono dari Indonesia pada 2019.
Robert Budi Hartono dan mendiang Michael Bambang Hartono memang terkenal menerusi empayar perniagaan Djarum. Mereka membawa kelab itu memasuki fasa pembangunan baru selepas beberapa kali mengalami masalah kewangan dan tersingkir dari liga profesional Itali.
Como pernah bersaing dalam Serie A pada musim 2002/2003, tetapi kemudian tersingkir pada penghujung musim itu.
Masalah kewangan yang menyusul menyebabkan kelab berkenaan diisytiharkan muflis pada 2004.
Kelab itu kemudian dibentuk semula dan kembali bersaing dalam sistem liga Itali. Namun, masalah kewangan kembali melanda pada musim 2016/2017. Kegagalan memenuhi syarat kemasukan ke Serie C bagi musim berikutnya memaksa Como memulakan saingan di lapis lebih bawah – Serie D.
Ia merupakan divisyen keempat dalam dunia bola sepak Itali.
Pada Mac 2017, Akosua Puni Essien, isteri bekas pemain tengah Ghana, Michael Essien, membeli kelab itu melalui lelongan.
Syarikat bermasalah pada awalnya
Bagaimanapun, awan yang menyelubungi Como belum berlalu dan dunia tidak cerah buat mereka. Kelab itu masih gagal masuk ke liga profesional dan terpaksa meneruskan saingan di Serie D pada musim 2017/2018.
Perubahan besar akhirnya tiba. Pada 4 April 2019 Sent hadir untuk mengambil alih Como.
Syarikat yang berpangkalan di United Kingdom itu dimiliki adik-beradik Hartono dan menjadi saluran pelaburan mereka dalam kelab berkenaan.
Harga pemerolehan dilaporkan sekitar €850,000 (kira-kira RM3.9 juta), selain melibatkan penyelesaian hutang kelab.
Siapakah pasangan adik-beradik Hartono itu?
Bambang lahir pada 1939 dan berperanan besar dalam perkembangan bisnes Djarum dan pelaburan keluarga mereka, termasuk dalam Bank Central Asia (BCA).
Dia meninggal dunia pada Mac lalu pada usia 86 tahun.
/file/attachments/orphans/como1eds_854310.png)
Budi pula lahir dua tahun selepas Bambang. Dengan abangnya, Budi membangunkan perusahaan rokok kretek daripada sekadar milih keluarga menjadi konglomerat sebelum melebarkan empayar mereka melalui pemilikan perbankan, hartanah, dan teknologi.
Keluarga itu menyertai perusahaan rokok kretek sekepas si bapa, Oei Wie Gwan, mengambil alih sebuah perniagaan rokok yang bermasalah pada 1951.
Dari sebuah syarikat yang bermasalah, bapa Bambang dan Budi mengubah keadaan dan membinanya sebagai pengeluar rokok jenama Djarum.
Selepas kematian Oei pada 1963, kedua-dua beradik meneruskan perniagaan keluarga mereka.
Di bawah pemilik baru, Como memberikan tumpuan kepada pembentukan struktur pengurusan yang lebih kukuh, pembangunan akademi belia, infrastruktur sukan dan pengukuhan pasukan utama.
Bekas kapten Chelsea, Dennis Wise, turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran kelab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) pada fasa awal pembangunan di bawah pemilik baru.
Puas membenam MU
Como turut menarik perhatian antarabangsa apabila bekas pemain Arsenal, Cesc Fabregas dan Thierry Henry, menyertai kelab itu sebagai pemegang saham.
Fabregas kemudiannya beralih daripada seorang pemain Como menjadi jurulatih kepada kelab itu. Dengan pengalaman dan ilmu yang ada padanya, Fabregas, 39, memimpin pasukan itu dengan pendekatan permainan yang menekankan penguasaan bola serta organisasi taktikal.
Kebangkitan Como dapat dilihat menerusi pencapaian mereka dalam liga domestik. Kelab itu menjuarai Serie D pada musim 2018/2019 sebelum menjuarai Serie C pada musim 2020/2021.
Kejayaan itu melayakkan mereka kembali ke Serie B.
Pada musim 2023/2024, Como menamatkan saingan Serie B di tangga kedua dengan 73 mata, sekali gus ‘diangkat’ serara automatik ke Serie A selepas 21 tahun tidak beraksi dalam liga utama Itali.
/file/attachments/orphans/como1_199184.png)
Prestasi mereka terus meningkat selepas kembali ke divisyen teratas.
Pada musim 2025/2026, Como tidak malu-malu untuk berada dalam kelompok lima kelab terbaik Serie A. Mereka berada di tempat keempat – dengan 71 mata – dan hanya diatasi oleh tiga gergasi Itali: Inter Milan, Napoli, dan Roma.
Dua lagi kelab gergasi Itali – AC Milan dan Juventus – berada di belakang Como
Keberadaan Como di tempat keempat melayakkan kelab yang tidak dibarisi ramai pemain bintang itu untu bersaing dengan kelab besar Eropah dalam Liga Juara-juara buat kali pertama.
Kemuncak perjalanan itu hadir pada 21 Okt lalu apabila Como menewaskan kelab yang pernah menjuarai kejohanan elit tersebut sebanyak tiga kali – MU – dengan jaringan besar 4-1 di Stadium Giuseppe Sinigaglia.
Nico Paz menjaringkan dua gol, manakala Anastasios Douvikas dan Jacobo Ramón masing-masing menyumbang satu gol.
/file/attachments/orphans/como1asd2s_139174.png)
Joshua Zirkzee pula menjaringkan gol sagu hati buat Mu pada masa kecederaan.
Kejayaan Como mencerminkan perubahan ketara daripada sebuah kelab yang pernah bergelut dengan masalah kewangan kepada pasukan yang mampu bersaing di pentas Eropah.
Walaupun pencapaian itu tidak boleh dikaitkan dengan satu faktor semata-mata, pelaburan pemilik, pembinaan struktur pentadbiran, pembangunan skuad dan kesinambungan prestasi menjadi antara aspek penting dalam perjalanan kebangkitan kelab berkenaan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/342342324324342_488013.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.