Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
Kepimpinan masyarakat & Bebalisme: Pemikiran Syed Hussein Alatas

Syed Hussein Alatas, seorang tokoh Malaysia, dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, pada 17 September 1928. Beliau merupakan seorang pendukong dasar berbilang kaum dan bangsa. Selain dari itu, dia menentang rasuah secara intelektual dengan keras.

Kebenciannya terhadap amalan rasuah telah menghasilkan beberapa pengajian mengenai kejahatan itu yang telah diterbitkan dalam bentuk buku-buku seperti The Sociology of Corruption (1968), Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990) dan Corruption and the Destiny of Asia (1999).

Jika diminta membina semula fikiran Al-Marhum Syed Hussein Alatas, kita boleh mengatakan seperti yang berikut:

1.Masalah utama dalam masyarakat-masyarakat berkembang adalah kemunduran dalam segala bidang kehidupan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan.

2.Faktor utama yang menyebabkan berterusannya keadaan kurang pembangunan ini adalah kepimpinan intelektual. Sejak
tahun lima puluhan, beliau telah mengambil perhatian tentang masalah ketiadaan suatu kelompok intelektual yang berfungsi di Malaya. Intelektual ditakrif sebagai seseorang yang memikir tentang gagasan-gagasan dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan keupayaan akal.

3. Tugas intelektual adalah berfikir, mempertimbangkan masalah-masalah tertentu, dan mencuba sampai kepada penyelesaiannya. Perhatian Alatas ayah terhadap gejala kelompok intelektual telahpun menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Intellectuals in Developing Societies (1977).

Karya ini bertumpu pada tiga soal: (i) mengapa kaum intelektual
diperlukan dalam masyarakat berkembang; (ii) jenis apakah terbaik untuk memenuhi keperluan itu; dan (iii) rintangan apakah yang meghalangi kemunculan dan berfungsinya kelompok ini.

Masalah-masalah yang seharusnya diperhatikan oleh kelompok intelektual dalam konteks masyarakat berkembang dibahagikan kedalam dua, iaitu, masalah teoretis dan masalah amali atau praktikal.

Masalah teoretis itu merujuk kepada masalah yang terdapat dalam bidang pengetahuan. Menurut Syed Hussein, masalah utama dalam bidang ini merupakan minda tertawan (captive mind). Menurut teori tawanan minda, minda tertawan itu bercirikan cara memikir yang dikuasai oleh pemikiran Barat. Masalahnya bukan pengambilan dari pemikiran Barat sendiri, tetapi cara tanpa kupasan dan tiruan dalam mana ilmu dari Barat dimengerti dan diterima.

Suatu “demonstration effect” mengakibatkan tiruan di segala aras kegiatan-kegiatan kesarjanaan, termasuk penetapan masalah, analisa, penyeluruhan, pembentukan faham, penggambaran, penghuraian, dan pentafsiran.

Salah satu daripada tujuan intelektual adalah membebaskan diri daripada tawanan minda ini. Suatu cara Profesor Syed Hussein Alatas melakukan ini adalah melalui mentafsir semula sejarah. Sejarah yang ditafsir semula merupakan apa yang Edward Said menamakan “revisionary history”, iaitu penulisan sejarah yang menolak wacana berpengaruh dan berkuasa dan yang “melebihi perlawanan Timur menentang Barat, dan secara cendekia dan konkrit mencuba memahami perkembangan beraneka-ragam dan yang seringkali aneh, yang dahulu tiada tercapai oleh apa yang dinamakan sejarawan dunia dan juga Orientalis penjajahan…” (Culture and Imperialism, London: Chatto & Windus, 1993).

Salah satu contoh karya seumpama ini yang dirujuk Said adalah karya ayah saya The Myth of the Lazy Native (1977) (Mitos
Pribumi Malas). Dalam buku ini, beliau mengkritik teori penjajah bahawa rakyat pribumi adalah malas pada dasarnya. Lagi pula, beliau memperlihatkan peranan citra pribumi Jawa, Melayu dan Filipina dalam kapitalisme penjajah dan berterusannya mitos ini di kalangan elit pribumi sendiri. Di negara-negara Asia selainnya seperti India dan Filipinas, suatu tradisi tafsiran semula sejarah telah ditanam di kalangan kesarjanaan. Ini masih belum berlaku di negara kita.

Masalah minda tertawan adalah berkaitan dengan masalah-masalah yang bersifat amali atau praktikal. Masalah-masalah
seumpama ini yang telah diperhatikan oleh Al-Marhum termasuk ekstrimisme keagamaan, pemikiran dan kelakuan yang tidak berakal, dan rasuah. Oleh kerana minda tertawan tidak sedar akan keadaan tawanannya dan tidak berfikir secara berautonomi, ia tidak dapat memahami dan menghuraikan masalah-masalah yang menghinggapi masyarakatnya; sebaliknya, ia akan mendatangkan masalah kepada negaranya.

Akibat daripada penelitian beliau tentang ekstrimisme keagamaan, pemikiran dan kelakuan yang tidak berakal, dan rasuah adalah beberapa cadangan dan rancangan yang dikemukakan untuk menyelesaikan masalah kemasyarakatan. Waktu tidak mengizinkan kami menjelaskan dengan terperinci rancangan-rancangan ini. Tetapi, dalam tatatingkat faktor-faktor yang didirikan oleh Prof. Alatas, yang berada di puncaknya adalah kepimpinan.

Soal ini telah dihuraikan beliau dalam beberapa karyanya termasuk, Kita dengan Islam (1979) dan Cita Sempurna Warisan
Sejarah
(2001) yang merupakan syarahan perdananya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam buku ini dibincangkan empat jenis pemimpin yang berdasarkan cita sempurna. Ciri-ciri jenis pemimpin ini diperolehi daripada tokoh-tokoh sejarah seperti Sayyidna Ali (karramallah wajhhu), Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz dan Sultan Salah al-Din Ayyubi.

Ini dibezakan dengan cita bencana yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh seperti Khalifah Al-Kahir, Sultan Ghiyasuddin Balban dan
Muhammad Tughluk. Dalam masyarakat dewasa ini, terdapat jenis pemimpin yang baik, yang dipandu oleh cita sempurna, dan juga jenis yang jadong, iaitu, jahat, bodoh dan sombong dan dipandu cita bencana.

Dari apa yang tersebut di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa, dalam pemikiran Syed Hussein Alatas, faktor yang utama dalam tatatingkat sebab musabab adalah prinsip-prinsip akhlak atau kesusilaan. Umpamanya, dalam tulisan beliau tentang rasuah, Prof. Alatas telah menegaskan bahawa perubahan struktural dalam pentadbiran kerajaan tidak akan membawa kesan yang baik jika perubahan ini tidak diiringi penjelmaan pemimpin-pemimpin yang mempunyai prinsip kesusilaan yang tinggi.

Faktor akhlak ini bukan hanya merupakan sesuatu yang penting dalam pemikiran intelektual ayah saya, tetapi juga dalam
kehidupan seharinya. Seoarang alim dari Iran, Allamah Murtadha Mutahhari telah menulis dalam bukunya Polarisasi Sekitar Watak Ali, bahawa Sayyidna Ali ibni Abi Talib (karramallahu wajhhu) senantiasa mempunyai keduanya kuasa menarik dan menolak.

Dari awal sejarah Islam, kita dapati ada segolongan yang berpaling ke arahnya dan ada yang tidak mempunyai hubungan yang rapat dengannya dan yang kadang-kadang di sakitkan oleh adanya. Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi Muhammad (saw):

“Janganlah kamu tanya tentang diri seseorang itu, tanyalah sesiapa sahabat-sahabatnya, kerana setiap insan itu bergantung kepada jenis manusia yang dia dampingi.”

Ini bererti setiap insan yang baik akan mendekatkan dirinya kepada insan yang baik dan, sebaliknya, insan yang jahat akan
cenderung untuk bergaul dan bermesra dengan orang-orang yang rendah akhlak.

Golongan yang berpaling ke arah ayah saya seringkali terdiri daripada yang mempunyai cita sempurna atau cita yang luhur. Ini termasuk ramai yang sering datang ke rumah kami pada pukul 9 malam untuk berbahas dan bersembang sepanjang malam. Dan saya memerhatikan bahawa ada ramai kenalan beliau yang tidak mempunyai hubungan yang rapat dengannya, yang tidak mendekatkan diri mereka dengan beliau. Mereka seolah-olah ditolak oleh cita-cita sempurnanya.

Syed Hussein Alatas, yang telah menjadi naib canselor Universiti Malaya keempat pada tahun 1988, telah ditamatkan  perkhidmatannya pada tahun 1991 selepas dituduh melakukan korupsi oleh beberapa pihak dan disiasat atas tuduhan tersebut. Al-Marhum Syed Hussein Alatas serta ahli-ahli keluarganya percaya bahawa peristiwa ini berlaku sebab beliau enggan bertindak berlawanan dengan prinsip akhlaknya. Insya-Allah, cerita yang lengkap tentang peristiwa itu akan disampaikan pada masa yang akan datang.

Ajaran yang diturunkan oleh ayah saya yang paling penting untuk saya sebagai seorang sarjana dan anak adalah ini: Sifat akhlak adalah sifat yang paling penting. Ilmu tanpa akhlak ada kemungkinan menjadi bahaya, manakala akhlak tanpa ilmu hanya akan menyebabkan yang tidak mempunyai ilmu mencarinya dari sumber yang sesuai. Watak yang mempunyai makarim al-akhlaq (kemuliaan watak) sentiasa berani membezakan antara yang benar dengan yang salah dan tidak merasa takut kehilangan kekayaan dan kedudukan. Menurut suatu hadis Rasulullah (saw):

“Sesungguhnya Allah mengutus aku untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak dan amal.”

Saya rasa sepanjang kehidupan intelektualnya, Prof Syed Hussein Alatas khuatir akan penguasaan masyarakat sedang
membangun oleh orang-orang bebal, iaitu, revolusi orang-orang bebal (the fools). Di antara ciri-ciri orang-orang bebal adalah ketidakmampuan menganalisa masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya.

Revolusi orang-orang bebal yang berlaku di banyak masyarakat berkembang sebahagian besar disebabkan oleh zaman penjajajan. Pemerintahan zaman penjajahan tidak memperhatikan menciptakan pentadbir-pentadbir yang bermutu tinggi. Selepas kemerdekaan kekurangan tenaga kerja yang pintar menimbulkan kemunculan orang-orang bebal. Mereka mengekalkan kelompoknya.

Menurut Prof Syed Hussein dalam bukunya, Intellectuals in Developing Societies:

Dengan orang-orang bebal ini datanglah nepotisme, pandangan kolot, politik parti kedaerahan, yang menentukan pemilihan dan kenaikan dalam tatatingkat kekuasaan pentadbiran. Orang-orang bebal tidak dapat menguasai keadaan dalam mana jasa dan kerja keras merupakan kriteria kejayaan, dan dengan demikian rasuah menjadi ciri-ciri naiknya kekuasaan orang-orang bebal,… Di mana orang-orang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah yang menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat.

Dengan demikian runtuhlah akhlak masyarakat kita. Apakah masyarakat kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang
berpengaruh dan yang mempunyai cita sempurna untuk melawan cita bencana? Apakah pemimpin seumpama itu dapat muncul dan melawan unsur-unsur bebal dan jadong dalam negara kita. Itulah harapan Syed Hussein Alatas dan harapan rakyat Malaysia.


SYED FARID ALATAS tenaga pengajar di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Lihat Komen
ADS